top of page

Kos sara hidup: Penjawat awam tolong jelaskan kepada rakyat - PM



Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta golongan penjawat awam turut membantu memberikan penjelasan kepada rakyat di bawah tentang usaha kerajaan menangani masalah kos sara hidup dengan menyalurkan pelbagai bantuan bagi meringankan beban mereka.


Perdana Menteri (PM) berkata, terdapat dakwaan seolah-olah kerajaan MADANI tidak berbuat apa-apa ketika kos sara hidup meningkat dan tidak memberikan bantuan kepada rakyat.


"Kita ada kekangan kewangan tetapi saya tahu ada masalah yang dihadapi oleh rakyat. Ya, soal kritikan biasa dalam politik, tetapi kalau kata kita tidak prihatin itu tidak betul.


"Minta saudara-saudara tolong jelaskan walaupun penjawat awam tidak harus campur tangan soal politik tapi ini soal dasar kerajaan," katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kajian analitik daripada media sosial didapati tiada perbandingan dilakukan dengan apa yang berlaku dalam pentadbiran dahulu dengan sekarang.


Jelasnya, masalah kos sara hidup memang menjadi cabaran di seluruh dunia namun kerajaan berusaha sebaik mungkin mengatasi masalah seperti ketirisan subsidi minyak petrol dan minyak masak yang sepatutnya dapat dinikmati oleh rakyat tempatan.


Jelasnya pada masa ini harga barangan keperluan seperti ayam, telur dan minyak masak masih rendah dan stabil jika dibandingkan ketika di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.


"Jangan lupa sekitar 2021, 2022 (sebelum pilihan raya umum) harga ayam sampai RM13 (sekilogram), sekarang jauh lebih rendah ada yang RM9 - RM9.50 sekilo.


"Dia (pembangkang) ingat kita lupa, masa dia jaga (mentadbir kerajaan) (harga) minyak masak lima kg cecah RM45 hingga RM50, sekarang sekitar RM27. Telur ayam - heboh dulu sampai tiada telur (dalam pasaran). Sekarang Alhamdullillah, stabil," katanya.


Katanya dengan harga ayam diapungkan, pada tahun lalu kerajaan dapat selamatkan RM1 bilion yang boleh disalurkan semula untuk keperluan rakyat.


Namun beliau mengakui masalah bekalan beras tempatan masih belum dapat diselesaikan tetapi kerajaan telah berjaya memberikan tekanan kepada pengimport agar menurunkan harga beras import kepada antara RM2 hingga RM3.


Anwar berkata bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) juga menyaksikan peningkatan kepada RM10 bilion tahun ini berbanding RM8 bilion pada 2023 dengan bantuan maksimum RM3,100 kepada RM3,700 bagi satu isi rumah.


Katanya golongan bujang turut diberikan bantuan dari RM350 kepada RM500 pada tahun ini.


Bantuan fasa pertama STR telah disalurkan pada Januari lalu membabitkan RM1.26 bilion dan ditingkatkan lagi kepada RM1.5 bilion untuk fasa kedua nanti pada 3 April.


Mengenai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pula, beliau berkata peruntukannya meningkat lima kali ganda iaitu daripada RM130 juta pada 2023 kepada RM700 juta pada tahun ini dengan kadar SARA dinaikkan RM1,200 tahun ini berbanding RM600 tahun sebelumhya.


Malah kumpulan penerima sumbangan berkenaan juga ditambah dan diperluas kepada 700,000 penerima dalam kategori miskin tegar dan miskin pada tahun ini, berbanding hanya 210,000 merangkumi golongan miskin tegar pada 2023.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page