top of page

Kos pilihanraya pun berbalah, rakyat jadi mangsa jika PN tadbir negara - Mahfuz

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 18, 2025
  • 2 min read

Pertikaian mengenai parti mana menanggung kos kempen Perikatan Nasional (PN) sewaktu Pilihan Raya Umum ke 15 lalu telah sampai ke tahap ungkit mengungkit antara komponen gabungan berkenaan.


Sehubungan itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Mahfuz Omar menyifatkan PN sebagai gabungan politik “buruk siku” selepas kenyataan bercanggah antara satu sama lain itu menjadi polemik umum.


Beliau merujuk kepada pendedahan bekas Ketua Setiausaha Sulit Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad yang menjelaskan bahawa semua kos kempen PN ketika PRU15 ditanggung oleh Bersatu, termasuk sumbangan besar kepada Pas.


Namun, kenyataan itu bercanggah dengan dakwaan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang sebelum ini mendakwa parti itu menanggung kos besar pilihanraya, sementara Bersatu hanya menyediakan calon.

Datuk Mahfuz Omar
Datuk Mahfuz Omar

"Percanggahan kenyataan ini menunjukkan betapa rapuh dan bercelarunya PN. Hari ini Bersatu mengungkit, esok Pas pula menafikan.


"Setelah menerima segala bantuan, Pas kini mahu mengambil alih kepimpinan PN daripada Bersatu. Inilah wajah sebenar PN gabungan politik ungkit-mengungkit dan perebutan jawatan," kata Mahfuz dalam kenyataan.


Beliau menegaskan, perebutan kuasa antara Pas dan Bersatu itu jelas memperlihatkan wajah sebenar PN sebagai gabungan politik yang tidak stabil dan hanya mementingkan kepentingan sendiri.


"Jika parti-parti (PN) asyik bertekak soal siapa bayar lebih dan siapa patut jadi ketua ini diberi kuasa memimpin negara, rakyat hanya akan menjadi mangsa.


"Malaysia akan terjebak dalam pertelingkahan tanpa kesudahan, bukan dalam usaha membina masa depan lebih baik," tegasnya.


Justeru, kata Mahfuz, rakyat tidak boleh mengharapkan PN sebagai alternatif kerana parti yang gagal menguruskan kejujuran sesama sendiri pasti akan gagal mentadbir negara dengan baik.


"Kalau kos pilihanraya pun PN tak sehaluan, bayangkan bila pegang negara. Malaysia bukan selamat, tapi Malaysia hancur dalam perebutan kuasa," katanya lagi.


Semalam, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendedahkan bahawa keseluruhan kos pilihan raya Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 telah ditanggung sepenuhnya oleh Bersatu.


Katanya, anggaran kos minimum bagi satu kawasan parlimen boleh mencecah RM1 juta, dan jumlah sebenar mungkin lebih besar bergantung kepada keadaan setempat.


Menurutnya, Pas tidak menghadapi masalah besar mengenai kos apabila mereka bertanding menggunakan logo PN, dan semua peralatan pilihanraya menggunakan logo PN disediakan oleh PN.


"Perbelanjaan PN pula semuanya ditanggung oleh Bersatu. Malah, Bersatu juga memberikan sumbangan kewangan yang bukan sedikit kepada Pas.


"Hasilnya, Pas menang 43 kerusi Parlimen iaitu jumlah terbesar dalam sejarah Pas sepanjang 70 tahun berada di persada politik Malaysia.


"Ini hakikat bantuan peralatan dan kewangan yang diberikan oleh Bersatu kepada Pas, yang saya percaya Datuk Seri Sanusi (Mohd Noor) sendiri tahu," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu sebagaimana dilapor Sinar Harian.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page