Kos pilihanraya Pas, satu kerusi RM1 juta, dari mana dapat dana?
- Suara Keadilan
- 5 days ago
- 2 min read

Kos pilihanraya Pas yang didedahkan oleh Pengarah Pilihanraya parti itu, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Muktamar Pas ke 71 lalu terus menjadi tanda tanya.
Menurut mantan Pengarah Pilihanraya KEADILAN, Datuk Seri Rafizi Ramli (gambar), kos yang disebut Sanusi sekitar RM1 juta untuk mempertahankan satu kerusi parlimen mungkin berlaku kerana jentera parti berkenaan dibayar keseluruhannya.
Kata beliau, hal itu berbeza dengan jentera KEADILAN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 atau 2022 misalnya, yang terdiri daripada tenaga sukarelawan.
"Saya pengarah pilihanraya (PRU 2022), saya kepalai dua pilihanraya besar (2018, 2022), 50 lebih kerusi kita jaga. Perbelanjaan peringkat pusat tidak boleh lebih RM50,000 untuk satu kerusi parlimen, kalau kerusi itu ada DUN dia lagi murah (bajet negeri) kerana ada DUN. Itu untuk bahan kempen termasuk billboard.
"Perbelanjaan untuk Ahli Parlimen, pengalaman saya bertanding di Pandan, saya tak pernah (keluar kos) lebih RM80,000 - 100,000.
"Sebab itu 2018 kita kempen, kita habiskan dua tahun rekrut sukarelawan. Kalau PACA kita tak bayar," kata Rafizi dalam siri podcastnya mengulas ucapan Sanusi sempena Muktamar Tahunan Pas minggu lalu.
Dalam upacan Naib Presiden Pas itu, Sanusi berkata kos mempertahankan kerusi parlimen yang dimenagi Pas pada pilihanraya akan datang menjangkau hampir RM1 juta satu kerusi sekiranya menggunakan kaedah konvensional. Secara mudah katanya, parti perlukan RM60 juta untuk pertahan 60 kerusi.
Bagi Rafizi, kenyataan Sanusi itu akan dipersoalkan meluas rakyat terutama dari manakah Pas akan mengumpul dana sebesar RM60 juta untuk belanja pilihanraya.
"Tin milo (derma) besar tangki air pun tak cukup RM60 juta. Maksudnya secara tidak langsung, secara terbuka Sanusi menormalisasikan bahawa parti politik kena kutip duit," katanya.
Lantaran itu, Rafizi mendedahkan kos pilihanraya ketika beliau mengendalikan kempen melalui inisiatif Invoke pada PRU 2018.
Katanya pada 2018, Invoke menjaga 55 kerusi untuk tempoh dua tahun sebelum pilihanraya dan seluruh perbelanjaan kurang RM10 juta.
"Dia (RM10 juta) bukan hari pilihanraya, ini untuk kempen digital, mobilisasi digital, kempen trak kita pergi satu masa ke satu masa," katanya.
Selain itu, tambah Rafizi, jentera sukarelawan boleh disediakan apabila parti mendidik perubahan sikap rakyat dan jentera tidak akan mengharapkan bayaran untuk memasang bendera, poster atau duit minyak sewaktu berkempen.
Comments