top of page

Kos pilihanraya atau keikhlasan Pas? - Puad persoal pendirian Tuan Ibrahim

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
3 hours ago
3 min read

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan pendirian Pas yang menolak cadangan mengadakan pilihan raya negeri lebih awal atas alasan kos, sedangkan parti itu sebelum ini menyokong Pilihan Raya Umum ke-16 dipercepatkan.


Menurut beliau, persoalan sebenar yang timbul daripada cadangan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan adalah sama ada Pas benar-benar ikhlas dalam usaha membentuk kerjasama politik atas nama penyatuan ummah.


Beliau berkata, cadangan Mohamad supaya Pas membubarkan sekurang-kurangnya satu Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri pentadbirannya bagi menguji sokongan rakyat terhadap gagasan berkenaan bukan sekadar soal pilihanraya, sebaliknya ujian terhadap kesungguhan Pas.


"Tok Mat memang bijak. Dia cuma mahu menguji keikhlasan Pas. Sebab itu dia cabar bubar salah satu DUN negeri bawah pentadbiran Pas," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.


Puad yang juga bekas Speaker DUN Johor berkata alasan kos pilihanraya yang dibangkitkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menimbulkan persoalan kerana pilihanraya pada asasnya adalah mekanisme untuk mendapatkan mandat rakyat.


"Jawapan Tuan Ibrahim ialah tidak perlu. Ia melibatkan kos. Sedangkan pilihanraya ialah soal mandat rakyat," katanya.


Beliau turut mempersoalkan mengapa Pas tidak menggunakan alasan kos yang sama apabila pilihan raya negeri diadakan lebih awal di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.


"Kenapa bila PRN Johor dan Negeri Sembilan diawalkan, Pas tidak bersuara soal kos pilihan raya?" soalnya.


Puad berkata, jika benar penyatuan ummah menjadi asas kerjasama politik, pilihan raya awal di salah satu negeri di bawah pengaruh gabungan negeri yang dikaitkan dengan SG4 juga boleh dijadikan ukuran sama ada rakyat benar-benar menyokong gagasan berkenaan.


"Kalau soal mandat rakyat, buat awal di salah satu negeri SG4 juga boleh jadi ukuran sama ada rakyat di sana menyokong penyatuan ummah," katanya.


Beliau pada masa sama mengingatkan bahawa Tuan Ibrahim sebelum ini menyokong PRU16 diawalkan, lantas pendirian mengenai kos pilihan raya itu dilihat perlu dijelaskan.


Puad mengeluarkan kenyataan itu ketika Umno dan Pas kembali membuka ruang perbincangan mengenai bentuk kerjasama politik menjelang PRU-16, selepas hubungan kedua-dua parti pernah diperkukuhkan melalui gagasan Muafakat Nasional.


Namun gagasan itu terbengkalai di tengah jalan lantaran Pas menolak kerjasama UMNO/BN menjelang pilihan raya umum 2018.


Dalam perkembangan terbaharu, Mohamad mencadangkan Pas membuktikan keikhlasan terhadap gagasan penyatuan ummah dengan bersedia menghadapi pilihan raya di salah satu negeri yang ditadbir parti itu.


Mohamad sebelum ini turut memberi isyarat bahawa sebarang kerjasama politik perlu dilakukan secara berhati-hati dan tidak menggadaikan kepentingan Umno serta Barisan Nasional (BN).


Beliau mengingatkan bahawa sokongan rakyat bukan Melayu dan parti-parti dari Sabah serta Sarawak kekal penting dalam pembentukan kerajaan.


Mohamad dalam ucapannya di PAU 2026 mengingatkan ahli Umno supaya tidak menganggap kawasan kerusi parti itu hanya terdiri daripada orang Melayu selain menegaskan kerjasama dengan parti-parti lain perlu mengambil kira realiti politik Malaysia yang pelbagai.


Menurut Puad, perbezaan pendekatan antara Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad juga semakin ketara apabila kedua-duanya menyampaikan mesej berbeza pada PAU 2026.


Beliau berkata Zahid lebih terbuka kepada pilihan raya awal dan penyatuan politik dengan Pas manakala Mohamad dilihat mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam menilai bentuk kerjasama tersebut.


"Selepas Melaka, BN tidak ada lagi kuasa tawar-menawar untuk hadapi PRU-16 tetapi Pas ada SG4 untuk memaksa BN ikut telunjuk Pas terutama di negeri yang BN tidak menang satu kerusi," katanya.


Sehubungan itu, Puad menyifatkan amaran Mohamad supaya pihak terbabit “berhati-hatilah” sebagai sesuatu yang wajar diberi perhatian.


Kata beliau perwakilan Umno pada PAU 2026 mungkin terbawa-bawa dengan gelombang politik yang dibawa Zahid sedangkan pendekatan Mohamad lebih bersifat rasional dalam menilai risiko kerjasama dengan Pas.


"Justeru itu, kos pilihan raya mahal hanya alasan. Pas sebenarnya tidak ikhlas," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page