Kos pengajian tinggi meningkat: Kerajaan perlu alih kepada pembelajaran hibrid, atas talian



Kerajaan BN - PN seharusnya mempunyai dasar pendidikan tinggi yang jelas menghadapi kos pengajian meningkat saban tahun dan secara mendadak sejak kebelakangan ini.


Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Mohamad Taufiq Ismail berkata masalah penginapan tidak mencukupi sebagaimana yang dihadapi oleh mahasiswa beberapa universiti awam termasuk di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang dilaporkan oleh media dalam beberapa hari adalah petanda kerajaan perlu menetapkan keutamaan dan perlu lebih kreatif dalam pendidikan tinggi negara.


"Peningkatan kos sara hidup secara menyeluruh disumbangkan beberapa faktor termasuk melalui peningkatan inflasi mengakibatkan kos pengoperasian universiti meningkat yang menatijahkan kenaikan yuran pengajian dan kos yang terpaksa ditanggung mahasiswa ketika dalam tempoh pengajian mahupun selepas menamatkan pengajian, melalui hutang pinjaman pendidikan


"Hal ini mengakibatkan graduan lepasan universiti menanggung hutang yang cukup tinggi dengan jumlah hutang pinjaman kini melebihi RM40 bilion.


"Permasalahan-permasalahan ini akan berterusan sekiranya tumpuan perbelanjaan di peringkat pengajian tinggi hanya seputar pembangunan institusi fizikal termasuk menumpukan pembinaan bangunan dan fasiliti yang tinggi kosnya tanpa mengalihkan fokus kepada pembangunan kandungan pengajian tinggi yang berkualiti, termasuklah akses terhadap kandungan pengajian," kata Taufiq dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, kerajaan perlu lebih berwawasan untuk mengekang peningkatan kos dan meningkatkan mutu serta akses kandungan pengajian tinggi secara berperingkat dalam jangka masa panjang.


Hal itu termasuklah secara beransur-ansur meneroka kaedah pengajian secara hibrid dan pengajian dalam talian sebagai mod pengajian utama sekali gus dapat menjimatkan kos pengajian.


Katanya, kerajaan juga perlu mempercepat pertumbuhan ekosistem digital termasuklah akses internet yang baik di seluruh negara di samping mengalihkan kos perbelanjaan pendidikan tinggi dengan menyediakan peranti digital kepada mahasiswa yang memerlukan ke arah kaedah pengajian hibrid dan online


"Permasalahan status quo seperti kesenjangan akses internet sebanyak 15% antara kawasan luar bandar dan bandar seperti dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Negara perlu diselesaikan dengan segera.


"Dapatan sama yang melaporkan akses internet bagi setiap rakyat Malaysia yang meningkat skor sebanyak 5 peratus iaitu daripada 91.7% pada tahun 2020, jika dibandingkan 87% pada tahun 2018, menunjukkan kita mempunyai keupayaan untuk melaksanaan hal ini dalam sedikit masa lagi sementara aspek kesenjangan akses internet diselesaikan secara berperingkat.

"Usaha mengalihkan mod pengajian secara hibrid dan secara online ini walaupun hanya mampu dilaksanakan dalam jangka masa yang panjang tetapi sebarang perancangan dan pelaksanaan perubahan dan fokus perbelanjaan sejak dari peringkat awal amatlah penting," kata Taufiq lagi.


Beliau justeru menekankan, mengalihkan pembelajaran ilmu daripada kebergantungan kepada institusi fizikal dan kemampuan kewangan semata-mata perlu dilakukan mulai sekarang untuk memastikan masalah penempatan mahasiswa dan kos tinggi pengajian dalam kawasan universiti tidak lagi berulang pada masa hadapan.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER