Kos Ibadah Qurban Semakin Tinggi, Masanya Tubuh Tabung Qurban
- Suara Keadilan

- Sep 12
- 2 min read
Updated: Sep 13

Oleh: Dr Bam Al-Haj
ULASAN: Ibadah qurban adalah ibadah yang paling dituntut dilakukan setiap tahun pada musim haji, selain ibadah haji itu sendiri.
Ramai yang berkongsi satu daripada tujuh bahagian qurban lembu atau seekor kambing atau kibas. Tetapi ramai juga yang tidak mampu kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi.
Satu bahagian lembu kini mencecah RM800. Di setengah tempat hingga RM950. Banyak pula NGO dan syarikat yang buat bisnes ibadah qurban, terutama mempromosikan ibadah qurban di luar negara kerana harganya yang lebih murah - sekitar RM350 hingga RM500.
Untuk menyimpan wang bagi melaksanakan ibadah qurban ini bukan mudah. Hanya yang berkemampuan yang biasanya setiap tahun boleh melaksanakan ibadah qurban ini.
Institusikan ibadah qurban
Bagi saya ibadah qurban ini boleh diinstitusikan seperti ibadah haji.
Antara yang mempelopori supaya ditubuhkan Tabung Qurban (TQ) seperti Tabung Haji (TH) ialah Profesor Emeritus Datuk Dr Moh. Yusof Othman, Timbalan Pengerusi IKIM.

Namun untuk menubuhkan TQ, satu entiti baharu mungkin memerlukan kajian dan kos yang tinggi. Oleh itu, Tabung Qurban mungkin ini boleh direalisasaikan sebagai satu produk baharu Tabung Haji (TH).
Saya cadangkan namanya sebagai Dana Qurban (DQ). Melalui DQ, umat Islam boleh melaksanakan ibadah Qurban dengan lebih mudah dan sistematik. Ia boleh mengelakkan penipuan dan rasa curiga kita daripada sebarang penipuan oleh syarikat swasta yang biasanya akan mengambil keuntungan daripada ibadah ini.
Dengan wujudnya DQ sebagai produk yang dijamin oleh TH, maka rakyat boleh menabung di TH dan menunaikan ibadah qurban dengan lebih mudah. Jika satu bahagian lembu kini berharga RM800, dengan menyimpan RM67 setiap bulan selama setahun untuk mencukupkan jumlah tersebut.
DQ akan menggamit lebih ramai umat Islam menabung di TH. Ia bukan sahaja akan meningkatkan dana agensi itu, tetapi juga meningkatkan "budaya menabung" di kalangan umat Islam.
TH melabur ternak lembu, kambing
TH mungkin boleh melabur dalam projek ternakan lembu dan kambing sementelah TH sendiri memang mempunyai ladang kelapa sawit yang luas di seluruh negara.
Projek ladang ternakan lembu dan kambing yang sistematik akan meningkatkan bekalan makanan negara. Industri hiliran juga boleh dikembangkan. Misalnya kulit lembu dan kambing yang biasanya dibuang begitu sahaja mungkin boleh dikumpulkan dan digunakan untuk industri membuat beg dan kasut kulit.
Dengan itu, agensi-agensi lain seperti Felda dan Felcra juga mungkin berminat untuk membekalkan lembu dan kambing kepada DQ yang dikendalikan oleh TH.
Profesor Emeritus Datuk Dr Yusof Othman mungkin boleh membantu TH menyediakan kertas kerja Dana Qurban itu, jika diperlukan.
Produk DQ pasti akan mendapat sambutan ramai, apalagi jika ia diuruskan oleh TH, nama gah yang boleh dipercayai. TH mungkin boleh menawarkan dividen bagi sesiapa yang menyimpan dalam Dana Qurban secara konsisten.
Ini mungkin merupakan satu lagi idea reformasi Kerajaan Madani bagi membantu rakyat.









Comments