top of page

Kos haji kekal RM33,300 bagi tahun keempat berturut-turut - Dr Zulkifli

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
3 hours ago
2 min read

Kerajaan MADANI menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) mengekalkan kos haji Muassasah pada RM33,300 seorang bagi musim haji 1448H/2027M, untuk tahun keempat berturut-turut.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan ibadah haji dapat dilaksanakan secara mampan dan saksama, selain meringankan beban bakal jemaah.


Bagi jemaah kumpulan B40, bayaran haji kekal RM15,000, manakala Bantuan Kewangan Haji (HAFIS), termasuk bantuan RM1,000 daripada kerajaan, dikekalkan pada RM18,300 atau 55 peratus daripada kos keseluruhan.


Bantuan RM1,000 itu diteruskan untuk tahun kelima berturut-turut kepada bakal haji B40 yang menunaikan haji buat kali pertama.


Bagi kumpulan M40 pula, bayaran haji ditetapkan RM23,500 dengan HAFIS sebanyak RM9,800 atau 29 peratus daripada kos keseluruhan, manakala jemaah T20 perlu membayar kos penuh RM33,300.


TH memperuntukkan RM234 juta bagi menanggung HAFIS secara bersasar.


Kerajaan berkata, meskipun berdepan tekanan inflasi perkhidmatan dan kesan konflik geopolitik di Asia Barat, TH berjaya memantau serta mengawal kenaikan kos berasaskan tadbir urus yang cekap tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan.


"Kerajaan Madani menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) kekal komited memastikan ibadah haji dapat dilaksanakan secara mampan dan saksama dengan mengekalkan kos haji Muassasah bagi musim 1448H/2027M pada RM33,300 seorang untuk tahun keempat berturut-turut," kata Zulkifli dalam kenyataan hari ini.


Keberhasilan mengekalkan kos mengerjakan haji, kata beliau merupakan satu kejayaan pengurusan memandangkan cabaran geopolitik semasa dan kenaikan harga minyak berikutan perang Iran dan Amerika Syarikat di Teluk.


"Meskipun berdepan tekanan inflasi perkhidmatan serta impak konflik geopolitik di Asia Barat, TH berjaya memantau dan mengawal kenaikan kos berasaskan tadbir urus yang cekap tanpa mengorbankan kualiti perkhidmatan," ujarnya.


Standard perkhidmatan haji Malaysia juga turut diiktiraf apabila negara memenangi Labbaytum Diamond Award buat kali kedua pada musim haji 2026.


Dalam pada itu, persiapan awal bagi musim haji 1448H/2027M telah dimulakan dan surat tawaran haji akan dikeluarkan secara berperingkat mulai bulan ini.


Bakal jemaah turut dinasihatkan membuat persediaan rapi dari aspek kesihatan, kewangan dan kefahaman ilmu selaras dengan konsep istito’ah.


Kerajaan turut menyatakan keyakinan bahawa hubungan erat antara Malaysia, TH dan Kerajaan Arab Saudi akan terus memperkukuh kerjasama serta kualiti penyampaian perkhidmatan haji kepada rakyat Malaysia.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page