Koperasi perlu rebut peluang ekonomi hijau, terajui transformasi digital
- Suara Keadilan

- Sep 18
- 1 min read

Koperasi diseru lebih berani melakukan transformasi digital bukan sahaja dalam urusan kewangan, malah turut merangkumi pemasaran produk dan perkhidmatan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan berkata, dunia sedang bergerak ke arah ekonomi hijau dan koperasi mempunyai peluang besar menerajui inisiatif kelestarian seperti pertanian, tenaga boleh diperbaharui dan pelancongan komuniti.
"Gerakan koperasi mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dan maju namun mesti bersedia melakukan transformasi agar kekal relevan dengan perubahan zaman.
"Model koperasi yang berteraskan kepentingan bersama menjadikannya lebih sesuai memimpin agenda ekonomi inklusif dan mampan," katanya dipetik.
Terdahulu beliau hadir merasmikan penutup program Jom@Coop 2025 di Putrajaya pada Rabu.
Program Jom@Coop 2025 yang disertai lebih 5,500 peserta menampilkan forum, pameran serta perkongsian kejayaan koperasi sekali gus menjadi platform pembaharuan koperasi yang segar dan inklusif.
Ramanan sementara itu menekankan kepentingan tadbir urus yang cekap, komunikasi jelas antara kepimpinan dan anggota, serta visi dinamik agar gerakan koperasi kekal relevan dengan perubahan zaman.
Beliau yakin koperasi mampu menjadi pemangkin kepada agenda Ekonomi MADANI yang menekankan digitalisasi, keterjaminan makanan dan kelestarian.
"Sejarah membuktikan koperasi berdaya tahan menghadapi krisis kerana sentiasa mengimbangi matlamat ekonomi dan sosial. Inilah masanya koperasi tampil sebagai pemacu pembangunan rakyat," katanya.









Comments