Koperasi Masyarakat Madani (K3P) dan Persatuan Rapat Rakyat (RAPAT) dipilih menjadi rakan strategik penganjuran MXGP World Motorcross Championship bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), ALSMotorsport dan sejumlah rakan strategik lain.
Menurut Pengerusi K3M dan Presiden RAPAT, Mustaffa Kamil Ayub, penganjuran itu juga nantinya selaras dengan aktiviti Rakan Muda bernafas baharu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru baru ini.
"Sesungguhnya ini merupakan suatu dimensi baharu bagi kami, RAPAT dan K3M. Ia (perlumbaan motor cross) amat penting dalam kita membina keyakinan rakyat Malaysia terutamanya anak muda, sekaligus mempromosi Malaysia seantero dunia dan merancakkan semula industri pelancongan negara.
"Dalam konteks ini, RAPAT yang ditubuhkan sejak 2010 telahpun menggerakkan sayap RAPAT Mudanya sebagai langkah proaktif menyantuni anak muda.
"Sudah pasti MXGP merupakan salah satu aspek penting membina keyakinan diri serta sahsiah ketrampilan generasi muda Malaysia," katanya dalam sidang media mengumumkan K3M dan RAPAT sebagai rakan strategik MXGP, semalam.
MXGP merupakan platform sukan permotoran off-road nombor satu di dunia. Pertandingan tersebut bermula pada 1952 dengan had umur peserta 23 tahun bagi kategori MXGP (hingga ke 450cc) dan MX2 (hingga ke 250cc). Pada tahun 2005 pula diperkenalkan MXW khusus buat wanita.
MXGP pada tahun 2022 ditonton oleh seramai 611 juta peminat dari 180 negara, penyiaran oleh 77 stesen televisyen dan 4.6 juta peminat mengikuti melalui penstriman digital.
Justeru kata Mustaffa, RAPAT dan K3M meraikan pasukan Malaysia yang akan bersaing dalam Siri MXGP pada tahun ini di Litar Selaparang, Lombok, Indonesia, 1 hingga 2 Julai 2023.
"Delegasi juga akan disertai bersama wakil RAPAT dan K3M, saudara Asri.
"Kami rakamkan tahniah dan terima kasih kepada pihak KBS YB Adam, YB Hannah dan seluruh pegawainya. En Shaari dan seluruh pasukan ALSMotosport serta semua pihak yang menjayakannya," kata Mustaffa lagi.
Untuk rekod, sehingga kini sejumlah negara dengan 21 litar telah pun dimasukkan dalam kalender Siri MXGP meliputi Argentina, Eropah, Indonesia, Turkiye, Oman dan Amerika Syarikat.
Bagi tahun 2024-2028, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah kepada sukan yang berprestij itu.
MXGP mempunyai nilai ekonomi dalam bentuk penajaan, pengiklanan, pemasaran barangan, pelancongan dan hospitaliti. Di tahun 2022, nilainya dianggarkan sekitar Euro 355 juta atau kira-kira RM 1.8 bilion.
Comments