Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan tutup mulut 'tong kosong'
- Redzuan Shamsudin

- May 11, 2023
- 1 min read

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang julung julung kalinya diadakan pada 14 Mei ini dijangka akan menutup mulut para penghasut dan 'tong kosong' di pihak pembangkang yang berdegar degar mengeluarkan teori kononnya gabungan pemerintah akan berakhir dalam masa terdekat.
Menurut Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat, Noraini Nordin, konvensyen sehari tersebut bakal mengukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan lain-lain yang sebelum ini direstui penubuhannya oleh Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja raja.
"Tarikh 14 Mei nanti adalah hari yang dapat meredakan bunyi 'bising' dari 'tong-tong kosong' yang selama ini gigih mencanang kononnya Kerajaan Perpaduan tidak mampu bertahan dan bakal tumbang bila-bila masa.
"Mereka juga akan kehabisan modal untuk menyambung siri-siri fitnah jahat, dan cubaan 'menebuk' Kerajaan Perpaduan pasti juga akan 'terbisu' dengan sendirinya," katanya dalam satu kenyataan.

Konvensyen di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra itu juga kata Noraini akan menjadi gelombang awal kesepaduan Kerajaan Perpaduan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri pada Julai ini.
Selain pemimpin tertinggi parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, katanya, turut menyertai konvensyen itu nanti adalah lebih 5 ribu pemimpin peringkat akar umbi daripada seluruh negara.
"Pada sebelah pagi akan berhimpun delegasi wanita dan pemuda parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di mana seramai lebih 3, 000 perwakilan akan menyertainya.
"Konvensyen ini akan menggambarkan wujudnya muafakat yang bijaksana serta matang sebagai kunci utama untuk mengekalkan perpaduan yang telah sedia terbentuk," kata Noraini lagi.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat berharap semua perwakilan tidak akan menguzurkan diri menghadapi konvensyen berkenaan dan beramai ramai berhimpun di WTC Kuala Lumpur.




Comments