Konvensyen Madani Rakan Siswa YADIM: Bentuk siswa berteraskan dakwah MADANI
- Suara Keadilan

- Nov 2
- 1 min read

Lebih 400 pimpinan mahasiswa dari seluruh negara berhimpun di ibu negara sempena Konvensyen Madani Rakan Siswa YADIM (RSY) 2025 yang berlangsung sejak 31 Oktober lalu hingga 2 November di Teh Pearl Hotel, Kuala Lumpur.
Konvensyen anjuran Bahagian Kepimpinan Muda (KEMUDA), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu bertujuan memperkukuh jaringan ukhuwah antara barisan pimpinan RSY dari pelbagai kampus dan latar belakang pengajian, selain memperkasakan kepimpinan Islam berteraskan konsep Dakwah Madani.
Dalam sesi Wacana Minda Madani bertajuk “Amanah Kepemimpinan Siswa”, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan menegaskan bahawa mahasiswa mempunyai peranan penting dalam membentuk masyarakat madani dan negara bertamadun.
“Baginda Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik bagaimana masyarakat pelbagai kaum dapat disatukan sehingga terbentuknya kota Madinah yang aman makmur. Inilah model yang ingin kita capai menerusi Aspirasi Malaysia Madani,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa mahasiswa perlu menjadi agen penyatuan dan kesejahteraan masyarakat dengan mengamalkan nilai-nilai hikmah dan kasih sayang dalam kepimpinan.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah YADIM Kuala Lumpur dan Putrajaya, Zairudin Hashim, serta Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda (KEMUDA) YADIM, Shahrizal Mat.
Konvensyen RSY 2025 menghimpunkan peserta daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) serta Politeknik yang mempunyai kelab Rakan Siswa YADIM di bawah naungan bahagian hal ehwal pelajar masing-masing.
Dengan pelbagai pengisian seperti bengkel kepimpinan, sesi wacana ilmiah dan forum mahasiswa, konvensyen kali ini diharap mampu melahirkan generasi mahasiswa yang bukan sahaja berilmu dan berakhlak, tetapi turut membawa misi memadanikan masyarakat seiring aspirasi Malaysia MADANI.









Comments