Konvensyen Angkatan Muda Keadilan Zon Borneo Tahun 2023 yang dianjurkan di Hotel Raia, Kota Kinabalu kelmarin berjaya mengenengahkan pelbagai idea bernas daripada perwakilan Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Menurut Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil, beliau teruja melihat pembahasan pada konvensyen 7 Oktober itu yang berjaya mengupas dengan baik tajuk tajuk diberikan seperti Ekonomi, Politik, Pendidikan, Belia Sukan, Alam Sekitar, Kesihatan dan Malaysia Madani setaraf pembahas yang lebih berusia.
"Saya amat teruja melihat pembahas mengemukakan idea dan pandangan untuk diambil perhatian oleh kepimpinan utama Parti Keadilan Rakyat bagi memperkukuh parti dan boleh diterima (disokong) oleh rakyat di Borneo.
"Walaupun para pembahas masih berusia muda namun idea yang mereka lontarkan sangat bernas. Dan ini menggambarkan bahawa AMK di Sabah tidak ketandusan pemimpin pelapis pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan.
Justeru itu, Zaidi yang juga Ketua AMK Cabang Kota Marudu merakamkan penghargaan atas kehadiran Ketua AMK Malaysia, Adam Adli Abdul Halim (Timbalan Menteri Belia Sukan Malaysia); Timbalan Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim (Setiausaha Politik Menteri Kewangan Malaysia); Datuk Dr Sangkar Rasam (Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Sabah); Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Wendy Agong dan Ketua Wanita Keadilan Sabah, Noriha Yakup serta wakil daripada Exco AMK Pusat pada majlis berkenaan.
Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Penganjur Rakan-rakan Ketua AMK Cabang dan AJK AMK Negeri yang berusaha bertungkus lumus bagi menganjurkan Konvensyen AMK Borneo serta kehadiran yang luar biasa daripada AMK pada hari berkenaan.
Comments