Oleh: Abdullah Zaid
Fokus hari ini tertumpu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam yang menghimpunkan anggota dan pimpinan dari segenap hierarki parti bagi Konvensyen Khas 25 Tahun KEADILAN.
Sambutan ulang tahun ke 25 KEADILAN khusus meraikan sokongan dan dokongan anggota-anggota dan penyokong perjuangan reformasi sebagai tanda penghargaan parti di atas sumbangan semua pihak yang meletakkan KEADILAN pada kedudukan sekarang ini.
Seawal 7.00 pagi, peserta mula berhimpun bagi pendaftaran konvensyen khas itu biarpun kaunter pendaftaran mengikut jadual mula beroperasi pada jam 8.00 pagi.
Tepat 9.00 pagi Konvensyen Khas yang diadakan buat julung kali akan membuka tirainya menerusi ucapan aluan pengarah program disusuli ucapan aluan Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution dan ucapan dasar oleh Timbalan Presiden yang juga Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Ia disusuli dengan peluncuran Felo KEADILAN dan peluncuran Portal AMK dan Angkatan Business Chamber bagi tujuan pemantapan jentera parti.
Selain itu, konvensyen diteruskan lagi dengan sesi pembentangan dan dialog bagi KEMAS16 dan POP25 pada 10.00 pagi sebelum berakhir pada 12.55 tengahari nanti.
Kemuncak konvensyen ulang tahun Jubli Perak itu dijangka berakhir pada 1.00 petang dengan amanat Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dengan peluncuran Dokumen KEMAS16 dan POP25.
Comments