top of page

Konvensyen 152 pemangkin Gerakan Nasional Bahasa Melayu

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 17
  • 3 min read
TPM DS Dr Zahid Hamidi merasmikan Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan baru baru ini
TPM DS Dr Zahid Hamidi merasmikan Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan baru baru ini

Oleh: Shahbudin Embun


ULASAN: Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Bahasa Jiwa Bangsa merupakan antara ungkapan yang sering dilaungkan apabila kita membincangkan tentang pemerkasaan bahasa Melayu. Sememangnya bahasa Melayu perlu sentiasa diperkasa dan dimartabatkan, selaras dengan kedudukan bahasa ini sebagai bahasa kebangsaaan.


Jika dilihat pada sejarah lampau, bahasa Melayu sudah lama memainkan peranan penting dan diiktiraf sebagai lambang maruah dan kedaulatan bangsa. Ia merupakan bahasa yang mengikat sejarah perkembangan bangsa dan negara, serta turut membina pemikiran dan melahir dan menguatkan jati diri rakyat Malaysia.


Baru-baru ini, ketika merasmikan Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menegaskan bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi lambang maruah dan kedaulatan bangsa serta menjadi wadah untuk memperkukuh iltizam seluruh warga Malaysia dalam menjulang bahasa kebangsaan agar terus menjadi tunjang perpaduan negara.


Gerakan Nasional Bahasa Melayu


Dalam hal ini, pujian seharunya diberikan kepada beberapa pihak khasnya UiTM, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Kementerian Pendidian Tinggi atas usaha menganjurkan konvensyen ini yang berjaya menghimpunkan beberapa tokoh akademik serta golongan mahasiswa untuk sama-sama menggembleng tenaga dan fikiran memperkasakan bahasa kebangsaan kita.

Shahbudin Embon bersama Ahmad Zahid
Shahbudin Embon bersama Ahmad Zahid

Ahmad Zahid juga menegaskan, konvensyen yang dianjurkan itu diharapkan menjadi pemangkin kepada Gerakan Nasional Bahasa Melayu yang merupakan satu kebangkitan baharu untuk mengembalikan roh bahasa sebagai bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa diplomasi dunia.


Apa yang diharapkan oleh Ahmad Zahid perlu didokong dan disokong oleh semua pihak. Sudah pasti kita tidak mahu semangat berkobar yang ditunjukkan dalam konvensyen ini terhenti sebaik sahaja konvensyen ini tamat.


Konvensyen 152 tidak seharusnya sekadar menjadi seperti sebuah wacana. Apa yang lebih penting ialah usaha dan tindakan susulan. Itu sebabnya konvensyen ini perlu menjadi pencetus kepada satu gerakan menyeluruh yang digerakkan oleh kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), universiti dan masyarakat amnya.


Ini adalah tanggungjawab kita semua, yang mana kita perlu melihat diri kita di cermin dan bertanyakan soalan kepada diri kita sendiri. Apakah sumbangan yang aku lakukan untuk memartabatkan bahasa Melayu? Jika nada masih tidak ada jawapannya, maka inilah masa yang paling sesuai untuk sama-sama berusaha dan bertindak.


Capai enam keketapan


Sidang Konvensyen 152 juga telah mencapai enam ketetapan yang mana antaranya menubuhkan Lembaga Bahasa Kebangsaan (LBK) di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai badan penasihat utama dalam hal ehwal bahasa Melayu dengan UiTM dilantik sebagai sekretariat.


Turut dipersetujui dalam konvensyen ini ialah pelantikan Atase Bahasa Melayu di setiap kedutaan di bawah Kementerian Luar Negeri serta penetapan 80 peratus kandungan media menggunakan bahasa Melayu yang betul.


Selain itu, Konvensyen ini juga mengesyorkan supaya kursus bahasa Melayu dijadikan syarat wajib lulus di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam, selain memperkenal gelaran profesional Ikhtisas Linguist (Lg) untuk pakar bahasa dan linguistik Melayu dan menekankan penggunaan tulisan Jawi dalam urusan rasmi kerajaan termasuk di papan tanda dan papan iklan awam.


Enam ketetapan ini perlu dilaksanakan dengan berkesan agar bahasa Melayu akan menjadi bahasa ilmu, penyelidikan dan inovasi yang penting. Zahid Hamidi juga menegaskan lagi bahawa bahasa Melayu mesti menjadi bahasa autoriti negara dalam semua urusan pentadbiran kerajaan, bidang ekonomi serta dunia digital bagi memperkukuh kedaulatan Malaysia.


Bahasa Melayu sebagai lingua franca


Para tetamu yang hadir juga tertarik dengan apa yang dijelaskan oleh Ahmad Zahid bahawa Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 telah menetapkan bahawa bahasa Melayu akan diangkat sebagai bahasa dagang halal di rantau ASEAN dan dunia Islam, menjadikannya 'lingua franca' ekonomi halal global.


Usaha ini tentunya akan mengingatkan kita bahawa satu ketika dahulu, iaitu semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa Lingua Franca di Nusantara.


Usaha melaksanakan konvensyen seperti ini, mahupun forum atau sebarang bentuk perbincangan perlu diperbanyakkan lagi untuk terus menyedarkan rakyat negara ini supaya sama-sama membantu usaha kerajaan untuk terus memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita.


Shahbudin Embun merupakan Pengerusi Biro Kepimpinan dan Pentadbiran Negara MPM

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page