Kontrak 'bus on demand' Selangor bukan runding terus, dua syarikat pengendali
- Suara Keadilan
- May 29, 2024
- 3 min read

Kerajaan Selangor menjelaskan kontrak bagi melaksanakan projek 'bus on demand' (BOD) di negeri itu yang diberikan kepada syarikat Asia Mobility Sdn Bhd adalah berasaskan proses pembuktian konsep melalui 'Permintaan untuk Cadangan (RfP)' dan bukannya rundingan terus.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, kontrak itu juga diberikan kepada sebuah lagi syarikat iaitu Badan Coach Sdn Bhd yang juga melalui proses yang sama bagi mengelakkan monopoli.
"Pandangan bahawa hanya satu syarikat yang terlibat iaitu Asia Mobility adalah tidak benar. Sebenarnya, dua syarikat yang dilibatkan bagi proses pembuktian konsep 'bus on demand' di Selangor iaitu Asia Mobility dan Badan Bas Coach.
"Proses penglibatan kedua-dua syarikat yang menyertai 'proof of concept' dibuat secara proses RfP dan bukan rundingan terus seperti yang didakwa segelintir pihak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sze Han berkata keputusan untuk melibatkan hanya dua syarikat itu diambil apabila Kerajaan Negeri memulakan proses pembuktian konsep projek itu, hanya firma berkenaan diberikan lesen oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
"Tugas APAD adalah untuk menetapkan syarat dan garis panduan supaya syarikat yang menyertai proof of concept ini dapat menepati piawaian yang ditetapkan, mempunyai armada bas mini atapun van sendiri, had usia kenderaan yang tidak melebihi 10 tahun, pemandu yang mempunyai lesen kelas D yang sah serta bebas daripada senarai hitam Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis.
"Kesemua syarat termasuk yang di atas perlu dipatuhi sebelum APAD melesenkan mana mana syarikat. Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk melibatkan kedua-dua syarikat dalam proses 'proof of concept' secara sama rata supaya satu syarikat tidak memonopoli proses pengujian ini dan warga Selangor dapat menilai keberkesanan, keselesaan dan tahap efektif perkhidmatan yang disediakan," jelasnya.
Jelas beliau lesen 'proof of concept' yang diberikan oleh APAD kepada kedua-dua syarikat ini hanya sah sehingga 31 Ogos 2024, bukannya untuk tempoh berpuluh tahun dan bukan diperbaharui secara automatik.
"Itu menjadi asas kepada keputusan jawatankuasa Kerajaan Negeri yang menetapkan bahawa tempoh proof of concept ini adalah hanya selama tempoh sembilan bulan, iaitu dari November 2023 dan tamat pada Julai 2024.
"Ini bermaksud tempoh proof of concept akan tamat sebelum lesen yang diberikan oleh APAD kepada kedua dua syarikat ini tamat tempohnya," ujarnya.
Jelas Sze Han, sejak tempoh proof of concept itu bermula, seramai 40,674 warga Selangor telah memanfaatkan perkhidmatan bas 'on demand' di kesemua lapan laluan iaitu empat laluan yang dioperasikan oleh Asia Mobility di Ampang, Hulu Kelang, Puchong, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
Empat lagi laluan oleh Badan Bas Coach iaitu Subang Jaya, Petaling Jaya Utara, Petaling Jaya Selatan, dan Sungai Buloh, katanya.
Dalam pada itu, kata beliau, peruntukan yang disalurkan kepada kedua-dua syarikat untuk memberikan subsidi kepada setiap pengguna yang menaiki 'bus on demand' adalah sama rata iaitu RM2.1 juta bagi sepanjang tempoh pembuktian konsep itu.
"Bayaran ini tidak disalurkan secara sekaligus tetapi secara berperingkat melalui 3 fasa untuk memastikan tiada penyalahgunaan peruntukan negeri.
"Kos yang dianggarkan bagi setiap pengguna bagi setiap perjalanan adalah RM5, tetapi untuk menggalakkan lebih ramai warga Selangor untuk menggunakan perkhidmatan awam, Kerajaan Negeri menanggung kos RM3 bagi setiap penumpang dan mereka hanya perlu membayar RM2 setiap kali menggunakan perkhidmatan ini," katanya.
Mengenai mengapa pengasas bersama Asia Mobility, Ram Ramachandaran yang merupakan suami kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh diberikan kontrak Kerajaan Negeri, beliau menegaskan bahawa penilaian dibuat berdasarkan kemampuan syarikat yang telah melepasi saringan awal oleh APAD dan kemudiannya diberikan kelulusan menyertai proof of concept.
"Satu lagi syarikat yang berkait dengan tokoh perniagaan Melayu yang berpengalaman dalam industri ini, iaitu Badan Bas Coach yang diasaskan oleh Tan Sri Nadzmi Mohd Salleh turut diberikan peluang yang sama untuk mengukuhkan usaha pengangkutan awam Kerajaan Negeri yang berhasrat menyediakan perkhidmatan van dan bas mini kepada warga Selangor pada harga dan kos yang berpatutan," ujarnya.
Sementara itu kataya pada awal bulan ini, Kerajaan Negeri juga telah menerima cadangan daripada satu lagi syarikat yang berhasrat terlibat sama dalam proses proof of concept iaitu Kumpool Sdn. Bhd. yang telah menerima kelulusan APAD untuk menyertai proof of concept.
"Kerajaan Negeri yakin bahawa proses penilaian Request for Proposal dan keputusan melibatkan syarikat-syarikat ini dilaksanakan dengan hemat dan asas yang kukuh serta menepati syarat dan garis panduan undang-undang sedia ada.
"Pentadbiran ini juga bersedia membentangkan keseluruhan proses penilaian ini kepada pihak berkuasa sebagai komitmen ketelusan dan kebertanggungjawaban Kerajaan Negeri terutamanya dalam perkara yang melibatkan perbelanjaan peruntukan negeri," ujarnya.
*Kredit foto: Selangorkini
Comments