top of page

Kontinjen e-Sukan Selangor sasar lapan emas di SUKMA 2026

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 23 minutes ago
  • 2 min read

Kontinjen e-sukan Selangor mensasarkan lapan emas pada temasya SUKMA 2026 yang berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos ini.


Ketua kontinjen, Simon Lim (gambar), berkata pasukan negeri yang dianggotai kira-kira 40 atlet bawah 21 tahun telah lengkap dengan jurulatih dan kontrak atlet, bersedia menyertai semua kategori termasuk e-Football, e-Sim Racing, Street Fighter, e-Chess, Mobile Legends dan Honor of Kings (HOK) yang dipertandingkan.


"Persiapan kami sangat baik. Semua pemain dan jurulatih telah bersedia dan latihan intensif sudah bermula," katanya dipetik.


SUKMA 2026 menampilkan 474 acara dalam 37 jenis sukan, termasuk tujuh sukan tambahan seperti e-sukan, kriket dan silambam. Kesemua sembilan daerah serta 12 pihak berkuasa tempatan menjadi tuan rumah, kecuali sukan berbasikal trek di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.


Dalam perkembangan berkaitan, Simon yang juga pengasas bersama Selangor Red Giants berkata, rancangan penubuhan gedung e-sukan Selangor bakal membuka lembaran baharu bagi menggilap bakat atlet e-sukan tempatan secara lebih tersusun dan profesional.


Bagaimanapun jelasnya, hab berkenaan perlu dilengkapi kemudahan selari keperluan semasa e-sukan, dengan tumpuan kepada kategori permainan popular di Malaysia dan acara yang dipertandingkan dalam kejohanan rasmi.


Beliau turut mencadangkan supaya hab itu dibangunkan di Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).


"Pendapat saya lagi baik beri kita sedikit ruang di stadium (KSSA) kerana kemudahan itu bukan sahaja untuk bola, tetapi bertemakan sukan untuk rakyat Selangor. Jadi saya rasa lebih efisien kalau hab e-sukan berada di sana," katanya.


Kerajaan Selangor sebelum mengumumkan cadangan ubahsuai Hotel Carlton di Seksyen 13 sebagai hab e-sukan dengan pelaburan sebanyak RM1 juta, bertujuan menjadi tuan rumah kejohanan peringkat antarabangsa dan serantau.


Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Jay Jay Denis berkata pembangunan semula itu dijangka siap menjelang penganjuran edisi ketujuh Sukan Solidariti Islam (SSI) 2029 di Selangor.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page