top of page

Kontena untuk eksport ke Israel disita di Tg Pelepas

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 9
  • 2 min read

Tindakan agensi kawalan sempadan Malaysia menyita sebuah kontena yang disyaki membawa muatan dagangan untuk dieksport ke Israel menunjukkan ketegasan negara ini dalam memastikan ia tidak dijadikan laluan perdagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada tindakan Israel terhadap rakyat Palestin.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata tindakan pantas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor itu juga selaras dengan pendirian dan sekatan yang telah ditetapkan kerajaan terhadap Israel.


"Tindakan ini membuktikan ketegasan Malaysia untuk memastikan negara kita tidak sekali-kali menjadi laluan kepada dagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin," katanya dalam kenyataan.


Anwar berkata tindakan berkenaan turut selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Kumpulan The Hague serta larangan yang berkuat kuasa sejak Disember 2023 terhadap kapal Israel dan kapal yang membawa muatan ke Israel daripada menggunakan pelabuhan negara.


"Malaysia akan terus berpegang teguh kepada prinsip kemanusiaan, keadilan dan undang-undang antarabangsa dalam mempertahankan hak serta maruah rakyat Palestin," katanya.


Sementara itu, AKPS dalam kenyataan memaklumkan pihaknya bertindak menahan dan menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di PTP pada 7 Ogos selepas menerima maklumat risikan bahawa ia disyaki membawa dagangan untuk dieksport ke Israel.


Berdasarkan semakan awal, penghantaran itu disyaki tidak mematuhi Item No. 15, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023 yang memperuntukkan larangan pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel.


AKPS berkata siasatan lanjut akan dijalankan bersama pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi mengesahkan sifat, spesifikasi, kegunaan serta klasifikasi barangan berkenaan.


Siasatan itu termasuk menentukan sama ada muatan terbabit merupakan barangan strategik yang tertakluk kepada kawalan di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708) dan perundangan subsidiari berkaitan.


"Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang melanggar dasar, sekatan dan perundangan negara berkaitan Israel.


"Pendirian Kerajaan MADANI dalam perkara ini adalah jelas dan konsisten. Sebarang percubaan mengeksport barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel yang bertentangan dengan undang-undang dan ketetapan kerajaan akan diambil tindakan tegas," menurut AKPS.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page