Konsep pemimpin agama selesai konflik sesuai Islam sederhana Malaysia
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Gagasan Islam yang membawa rahmat kepada seluruh masyarakat tanpa mengira agama dan budaya atau lebih dikenali sebagai konsep Islam Rahmatan lil Alamin merupakan cara Malaysia mengekalkan sifat sederhana dan jalur tengah dalam mendepani masyarakat majmuk yang rencam.
Ketua Biro Latihan dan Perkaderan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Ashraf Hadi (gambar) berkata, pendekatan ini menolak fahaman sempit atau ekstrem yang boleh mencetuskan pertembungan antara kaum serta agama.
"Islam Rahmatan lil Alamin yang kita perjuangkan bukan hanya untuk umat Islam, tetapi untuk semua. Malaysia tidak boleh bergerak maju jika perpaduan ini retak kerana sikap ekstrem.
"Sikap perkauman atau keagamaan melampau yang hanya menimbulkan kebencian, sebaliknya kita perlu mengajak rakyat menghargai sumbangan pelbagai komuniti yang bersama membina negara," kata Ashraf kepada Suara Keadilan.
Beliau mengulas ucaptama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Persidangan Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama Kali Kedua Pemimpin: Peranan pemimpin agama dalam menyelesaikan konflik, baru baru ini.
Tambah Ashraf, konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan Anwar turut dibincangkan yang menekankan hak kebajikan rakyat, keadilan sosial dan pengukuhan dialog antara agama.
"Pada pandangan saya, model ini mengambil inspirasi daripada kepemimpinan Rasulullah SAW di Madinah yang menjamin hak dan kebebasan pelbagai kaum dan agama.
"Misalnya kalau seseorang Melayu yang terlalu ekstrem dengan sifat kemelayuannya sehingga dia tak nampak langsung kebaikan yang dibuat oleh kaum-kaum yang lain, perkara ini bukan contoh yang baik.
"Kepimpinan PMX sentiasa mengambil jalur tengah yang seimbang sama ada progresif ataupun konservatif.
"Kalau kita tengok buku Kebangkitan Asia (Asia Renaissance) yang dikarang oleh PMX sendiri, dia melihat bahawa kebangkitan sesuatu negara mestilah terkait dengan kekuatan adat dan budaya setempat.
"Kita tak tinggalkan akar kebudayaan dan perpaduan yang kita telah amalkan sejak sekian lama, tetapi pada masa yang sama mesti ada sifat inklusif dan terangkum kepada semua, tak memilih bulu dan adil kepada semua," kata Ashraf lagi.
Pada sidang khas yang dipengerusikan Perdana Menteri itu turut menghimpunkan pemimpin pelbagai agama termasuk ulama, wakil Kristian, Hindu dan Buddha bagi membincangkan usaha memperkukuh perpaduan nasional berteraskan konsep Malaysia MADANI dan Rahmatan lil Alamin.