Mesyuarat Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan (ACMROCH) 2024 sebulat suara meluluskan Konsensus Kuala Lumpur.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, konsensus itu selari Agenda Perbandaran Baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk masa depan pembandaran yang mampan, saksama dan makmur.
Ia akan menumpukan tiga aspek utama dalam membina masa depan yang mampan untuk ASEAN dan China.
"Aspek pertama ialah kami memberi tumpuan kepada memperkukuhkan rangka kerja untuk bekerjasama dalam perumahan dan pembangunan bandar, yang kedua ialah pada memajukan teknologi, inovasi, dan pembinaan hijau bagi kemampanan.
"Dan yang ketiga, (kami memberi tumpuan kepada) kecekapan dan membangunkan bandar yang berdaya tahan terhadap iklim dengan mempercepatkan tindakan iklim tempatan dan serantau," katanya dipetik.
Sementara itu Kor Ming berkata, Malaysia mengalu-alukan penubuhan platform Agenda Perbandaran Baharu untuk ASEAN dan rantau Asia Pasifik bagi membantu negara anggota menyediakan dan menghantar laporan mereka mengenai pelaksanaan agenda tersebut tepat pada masanya.
KPKT jelasnya akan terus mengadakan libat urus dengan anggota-anggota ASEAN dan China untuk meneruskan Konsensus KL apabila Malaysia mengambil alih peranan sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun depan.
Comentários