Konflik Wan Saiful-Azmin: Bersatu menuju perpecahan dalaman?
- Suara Keadilan

- Oct 1
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Konflik dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mungkin bakal mengheret parti itu ke arah perpecahan serius apabila Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan memulakan serangan ke atas Setiausaha Agung, Datuk Seri Azmin Ali.
Bagi Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, parti pembangkang yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin tersebut dijangka menghadapi masa masa kritikal berikutan kepimpinan Azmin ditentang salah seorang pengasas parti itu sendiri, iaitu Wan Saiful.
''Masing-masing (pemimpin Bersatu) memang ada masalah (tersendiri).
''Dalam situasi ini, dilihat ia seolah-olah wujud tanda perpecahan dalam Bersatu, yang bagi saya mungkin berkait dengan kedudukan dalam parti,'' katanya ketika dihubungi.
Ditanya sama ada polemik itu berpotensi menyebabkan Bersatu berpecah kepada 'puak-puak' tertentu sebagaimana kepimpinan Azmin di dalam KEADILAN yang mencetuskan kumpulan tersendiri sebelum beliau meninggalkan parti, Syed Ibrahim berkata, perkara tersebut bergantung kepada bagaimana bijaknya pemimpin tertinggi Bersatu menguruskan keadaan.
Beliau berpendapat, jika hal itu tidak diuruskan dengan baik, hal itu akan membawa imej yang sangat negatif kepada Bersatu.
Katanya, semua bergantung kepada kepimpinan tertinggi parti itu sama ada mampu menyelesaikan konflik, atau sekiranya gagal maka parti saingan akan mendapat keuntungan daripada perpecahan Bersatu.
''Jadi saya berharap mereka dapat menyelesaikan isu ini. Jika tidak, keadaan ini akan memberi kelebihan kepada parti-parti lain,'' katanya.
Kelmarin Wan Saiful yang sebelum ini berdepan lembaga disiplin parti berhubung dakwaan usahanya mengumpulkan Akuan Berkanun (SD) daripada Ketua Bahagian Bersatu, menyatakan kepada media bahawa beliau akan mengemukakan laporan balas terhadap Azmin dan Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal dalam usaha membela dirinya.
Selain itu, Wan Saiful turut mendakwa siasatan forensik ke atas video intim yang dikatakan membabitkan Azmin Ali di Sandakan pada 2019 lalu, disahkan adalah tulen.
Katanya, hal itu mengubah pendirian beliau yang menyokong Azmin sejak beberapa tahun lalu.
"Saya nyatakan pandangan kepada beberapa orang bahawa selagi isu ‘video songsang’ ini tidak diselesaikan, Azmin tidak layak jadi pemimpin Bersatu.
"Saya berpandangan kalau ia fitnah politik, ya, kita mesti pertahan dan lawan. Tetapi kalau ia isu moral yang menyimpang, maka ia tidak sesuai untuk parti seperti Bersatu," katanya dipetik Malaysiakini.
Untuk rekod, Bersatu pada waktu ini didakwa mempunyai dua puak yang bertentangan iaitu menyokong Presiden Muhyiddin dan Azmin, manakala satu puak lain menyokong Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk mengambil alih teraju kepimpinan, yang didakwa mendapat sokongan beberapa pimpinan utama termasuk Wan Saiful.









Comments