Konflik Timur Tengah: AMK sokong pendirian PM
- Suara Keadilan
- Jun 27
- 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat menyokong penuh pendirian Perdana Menteri dan negara yang konsisten dalam mempertahankan prinsip keadilan, hak asasi manusia dan kedaulatan sesebuah negara dalam konflik terbaharu di Timur Tengah.
Menurut Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa AMK, Arief Jefferi (gambar), ketegangan serantau di Asia Barat tidak akan menguntungkan dunia malah bakal menyebabkan berlakunya kenaikan harga minyak, serta kemerosotan ekonomi dunia sekiranya serangan berterusan.
"AMK memandang serius peningkatan ketegangan di rantau tersebut, terutamanya tindakan provokatif dan ganas yang dilakukan oleh rejim Israel ke atas negara-negara lain, termasuk Iran, serta serangan tidak berperikemanusiaan ke atas rakyat Palestin di Gaza.
"AMK juga berkongsi kebimbangan terhadap langkah penutupan Selat Hormuz yang diluluskan parlimen Iran baru-baru ini.
"Langkah ini boleh memberikan kesan besar kepada ekonomi global, serta peningkatan campur tangan kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat yang hanya memburukkan lagi keadaan," katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, AMK menegaskan formula penyelesaian bagi Timur Tengah perlu dicari dengan Israel wajib dihentikan daripada meneruskan tindakan agresif serta provokasi terhadap negara lain dan rakyat Palestin.
Masyarakat antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata beliau mesti mengambil tindakan segera dan tegas terhadap keganasan yang dilakukan.
Malaysia pula, katanya, harus terus lantang bersuara dalam mempertahankan prinsip keadilan sejagat serta hak rakyat yang tertindas.
"Malaysia tidak boleh membisu apabila kezaliman berlaku di hadapan mata dunia.
"AMK menyeru semua anak muda Malaysia untuk turut bersama dalam memperjuangkan keamanan sejagat dan menolak sebarang bentuk penjajahan, kezaliman serta ketidakadilan," katanya lagi.
Untuk rekod, konflik terbaharu antara Iran dan Israel yang juga dikenali sebagai 'perang 12 hari' telah menyebabkan kerugian besar di kedua belah pihak, dengan 600 kematian dan lebih 5,000 rakyat Iran cedera dibom Israel.
Manakala di pihak Israel pula mengalami kerugian berbilion dolar akibat dihentam peluru berpandu balistik Iran terutama di kota besar Tel Aviv dan Haifa yang menyaksikan hampir 100 rakyatnya maut.
Comments