Konflik Thailand - Kemboja mampu diselesaikan dengan cara ASEAN
- Suara Keadilan

- Jul 28
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai sosok paling sesuai dan berada pada kedudukan terbaik dalam rundingan ke arah gencatan senjata dalam konflik antara Thailand dan Kemboja.
Itu pandangan Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (gambar) terhadap pemimpin berusia 78 itu yang juga seorang Perdana Menteri (PM).
Raja Kamarul berkata, Anwar telah mengambil inisiatif yang amat dialu-alukan dengan menganjurkan rundingan damai antara kedua-dua negara itu di ibu negara hari ini.
''Namun, kenyataan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, bahawa negara itu akan menghantar pegawai mereka ke Kuala Lumpur bagi menyertai inisiatif damai itu telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan sesetengah pihak.
''Kami amat optimis bahawa selaras dengan semangat serantau ASEAN yang menjunjung tinggi tradisi kewujudan aman, isu antara dua negara ASEAN ini dapat diselesaikan secara baik dan berjaya tanpa penglibatan serta pengaruh pihak luar.
''Sejarah panjang penglibatan Amerika Syarikat (AS) dalam konflik dan peperangan serantau dan global menjadikan ramai pihak berasa gusar dengan kehadiran mereka.
''Pengalaman pahit peperangan panjang yang melibatkan AS di Vietnam, Afghanistan dan Iraq, antara lain, tidak memberikan keyakinan terhadap rekod keupayaan diplomatik mereka di peringkat antarabangsa,'' katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu kata Raja Kamarul, peluang harus diberikan kepada keupayaan diplomasi halus ASEAN, berlandaskan semangat Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), untuk menyelesaikan konflik tersebut di bawah kepimpinan Anwar selaku Pengerusi ASEAN.
Konflik antara Thailand dan Kemboja itu ujarnya, seharusnya dimediasi pihak yang jujur dan berkecuali dalam semangat kejiranan dan persaudaraan yang telah sekian lama menjadi teras ASEAN.
''AS wajar menumpukan perhatian kepada peperangan di Ukraine, dan juga kepada pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza oleh rejim Israel yang jelas melanggar segala pertimbangan kemanusiaan sejagat.
''Terima kasih, tetapi tidak, terima kasih. Kami, negara-negara ASEAN, lebih memilih untuk menangani konflik dengan cara ASEAN yang telah terbukti berjaya, matang dan berdaulat,'' tegas beliau lagi.









Comments