Konflik Sudan: Malaysia perlu main peranan diplomasi Islam - Dr Mujahid
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Timbalan Presiden Parti AMANAH Negara, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, menegaskan bahawa Malaysia perlu terus memainkan peranan aktif sebagai jambatan diplomasi Islam dalam membantu mencari penyelesaian terhadap krisis kemanusiaan yang sedang melanda Sudan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Diskusi Isu Sudan yang dianjurkan oleh Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (IAIS Malaysia) malam tadi.
"Alhamdulillah, malam tadi saya berpeluang menghadiri Diskusi Isu Sudan yang dianjurkan oleh IAIS Malaysia. Diskusi ini memberi tumpuan kepada krisis kemanusiaan yang masih berlarutan di Sudan, yang telah menjejaskan jutaan rakyat akibat konflik dalaman dan ketidakstabilan politik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah IAIS, Dr Maszlee Malik; Duta Sudan ke Malaysia, Hassan Abdelsalam Omer; Ahli Dewan Negara, Senator Jufitri Joha serta Timbalan Penasihat Umum Parti AMANAH Negara, Datuk Abdul Ghani Samsudin, bersama wakil pelbagai NGO.
Menurut Dr Mujahid, krisis berpanjangan di Sudan menuntut perhatian serta solidariti dunia Islam dalam mencari jalan damai dan membantu membina semula negara tersebut.
"Situasi ini menuntut perhatian serta solidariti dunia Islam untuk membantu mencari jalan damai dan membina semula negara tersebut," tegasnya.
Beliau berkata, perbincangan itu turut menekankan peranan Malaysia sebagai model negara Islam sederhana dan progresif, yang boleh menjadi pengantara diplomasi dan keamanan serantau melalui pendekatan rahmah, kerjasama kemanusiaan, pendidikan dan ekonomi.
Dr Mujahid turut menzahirkan penghargaan kepada IAIS Malaysia atas inisiatif menganjurkan wacana ilmiah tersebut yang membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk menilai pendekatan terbaik bagi membantu rakyat Sudan secara berkesan dan berperikemanusiaan.









Comments