Konflik selatan Thai: Keganasan bukan jalan penyelesaian
- Suara Keadilan
- Feb 10, 2023
- 2 min read

Kerajaan tidak akan merestui apa-apa tindakan berunsurkan keganasan sebagai jalan untuk menyelesaikan sebarang konflik.
Pendirian itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengulas berkaitan isu konflik selatan Thailand yang sudah berlarutan sejak sekian lama.
Mengakui konflik itu turut memberi kesan kepada Malaysia, Anwar turut menyatakan hasrat negara ini memainkan peranan untuk mewujudkan keamanan di wilayah itu.
"Menjadi kewajipan kita sebagai jiran dan keluarga yang baik untuk melakukan apa sahaja yang perlu memudahkan proses itu.
"Itu sebabnya kami bersetuju untuk melantik fasilitator yang boleh diterima daripada seorang pesara ketua angkatan tentera kami (Bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin), yang dikenali oleh Perdana Menteri Thailand untuk bekerja dan mencari jalan membantu dan memberi bantuan," jelasnya.
Anwar berkata begitu dalam sidang media bersama rakan sejawatnya, Jeneral Prayuth Chan o-cha di pejabat Perdana Menteri di Rumah Kerajaan pada Khamis.
Untuk rekod, beberapa Ahli Akademik yang dipetik laporan media menyifatkan lawatan Anwar ke Thailand sangat penting.
Bukan sekadar mengukuhkan hubungan ekonomi dan dagang kedua buah negara, pengaruh Anwar pada lawatan itu juga diharap mampu membawa kemajuan dalam rundingan damai antara kerajaan Thailand dan kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN).
Sementara itu dalam sidang medianya, Anwar turut menggesa supaya konflik kecil yang membawa kepada ketidakpercayaan, kebencian antara penduduk di selatan Thailand dihentikan.
Kedua-dua belah pihak tegasnya perlu memahami bahawa konflik itu tidak menguntungkan dan keamanan adalah situasi yang paling penting.
"Kita perlu memastikan dan menarik perhatian rakan-rakan kita, kedua-dua belah sempadan untuk menyelesaikannya (konflik).
"Saya secara peribadi dikenali oleh ramai rakan sekerja di selatan dan defisit kepercayaan, kebimbangan mengenai isu budaya agama akan ditangani," tambah Anwar dengan berkata akan memanfaatkan hubungan peribadinya dengan pemimpin muslim di Selatan Thailand bagi mencapai tujuan itu.
Comentarios