Konflik Palestin: Rakyat perlu berdiri di belakang PM suarakan solidariti
- Redzuan Shamsudin

- Mar 16, 2024
- 1 min read

Konflik Palestin - Israel yang berlarutan sejak Oktober 2023 lalu memerlukan tekanan antarabanagsa yang lebih hebat untuk menyelesaikannya.
Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, kritikan yang dilontarkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama Canselor Jerman yang kemudiannya disokong oleh netizen dunia baru baru ini menunjukkan pandangan kebanyakan warga dunia yang mahu kekejaman Israel ke atas Gaza ditamatkan segera.
"Pujian yang diterima oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas penilaian terus terangnya mengenai situasi Palestin semasa sidang media bersama Canselor Jerman, Olaf Scholz mencerminkan kekecewaan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap Israel dan sekutunya.
"Cubaan untuk mempertahankan penindasan rakyat Palestin walaupun mereka sedang menghadapi kebuluran adalah lanjutan daripada kezaliman terhadap rakyat Palestin sejak peristiwa Nakba pada tahun 1948.
"DAP menyokong keberanian Perdana Menteri yang tampil sebagai suara nurani masyarakat antarabangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, menurut Anthony Loke lagi, hanya tekanan yang kuat ke atas sekutu rejim Israel yang mampu membawa rejim itu kepada penyelesaian yang lebih bermakna terhadap situasi di Gaza.
Oleh itu, kata Siew Fook, rakyat Malaysia seharusnya berdiri teguh di belakang PM bagi meneruskan siri desakan yang lebih keras meminta diadakan penyelesaian antarabangsa.
"Rakyat Malaysia mempunyai kewajiban moral untuk berdiri bersama dengan Perdana Menteri kita dalam mencari pengakhiran kepada kesengsaraan rakyat Palestin di pentas antarabangsa," katanya lagi.
Untuk rekod, serangan besar besaran Israel sejak Oktober tahun lalu telah membunuh lebih 30,000 orang awam Palestin dan disifatkan sebagai pembunuhan beramai ramai pada abad ini.









Comments