top of page

Konflik Israel - Iran: Panggil Sidang Khas Parlimen Malaysia - Mahfuz

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 22
  • 2 min read

Serangan berterusan tentera udara rejim Israel ke atas Republik Islam Iran yang bakal menjadi lebih parah dengan campur tangan Amerika Syarikat (AS) mengancam menggunakan bom 'bunker buster' bagi menghancurkan kemudahan nuklear bawah tanah Iran memerlukan Perdana Menteri Malaysia memanggil satu Sidang Khas Parlimen bagi membincangkannya.


Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, perkembangan perang di Timur Tengah dengan penglibatan nyata AS hanya akan mengganggu gugat ekonomi dunia sekiranya Selat Hormuz di Iran tidak boleh dilalui kapal pengangkut petroleum dan bakal menyebabkan ekonomi global termasuk Malaysia menghadapi risiko besar.


"Suatu kebimbangan serius terhadap perkembangan terbaru di Timur Tengah susulan tindakan ketenteraan berskala besar dilancarkan oleh Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran.


Datuk Mahfuz Omar
Datuk Mahfuz Omar

"Tindakan ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan nyawa dan kehancuran infrastruktur awam di Iran, malah membuka ruang kepada konflik serantau yang boleh menjejaskan kestabilan global, termasuk Asia Tenggara.


"Sehubungan itu, saya mendesak supaya Parlimen Malaysia (Dewan Rakyat) mengadakan satu sidang khas tergempar," katanya dalam satu kenyataan.


Sidang khas itu, menurut Mahfuz, perlu membincangkan pendirian rasmi negara dalam konflik tersebut serta tindakan diplomatik yang sewajarnya.


Sidang juga boleh membincangkan kesan geopolitik dan ekonomi, termasuk kepada rantaian bekalan, harga minyak dan keselamatan serantau.


Malaysia katanya, turut boleh memutuskan tindakan kemanusiaan yang akan diambil untuk membantu rakyat Iran yang menjadi mangsa konflik.


"Sebagai institusi demokrasi tertinggi negara, Parlimen tidak boleh berdiam diri dalam isu yang melibatkan keadilan sejagat, kedaulatan negara lain, dan kemanusiaan.


"Suara rakyat Malaysia mesti dizahirkan melalui saluran sah dan terhormat, iaitu Dewan Rakyat," ujar Mahfuz


Sidang itu juga, kata pemimpin Pakatan Harapan Kedah itu boleh digunakan untuk menegaskan pendirian sebagai negara yang konsisten menolak segala bentuk penjajahan, pencerobohan, dan pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa.


"Saya percaya rakyat Malaysia menolak segala bentuk keganasan dan menyokong penyelesaian damai. Maka adalah menjadi tanggungjawab moral dan politik kita untuk memastikan suara negara ini disuarakan dengan jelas dan bermaruah di peringkat antarabangsa.


"Saya menyeru agar Perdana Menteri segera mempertimbangkan keperluan sidang khas Parlimen ini demi kedaulatan nilai keadilan dan kemanusiaan sejagat," katanya.


Konflik di Timur Tengah setakat ini telah mengorbankan lebih 200 rakyat Iran dengan berbelas belas jeneral tentera, pegawai tinggi polis dan saintis nuklear negara itu dibunuh secara pengeboman presisi oleh Israel.


Manakala di pihak Israel kehilangan hampir 50 jiwa dan Iran berjaya memusnahkan banyak kemudahan tentera dan awam di kota Tel Aviv serta bandar pelabuhan Haifa menggunakan peluru berpandu balistik dan hipersonik.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page