Konflik Israel-Iran harap segera selesai, jangan beri kesan harga minyak
- Suara Keadilan
- Jun 16
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia berharap konflik yang berlaku antara Israel dan Iran pada masa ini tidak akan berlanjutan di tengah kebimbangan kancah perang akan memberikan kesan kepada sektor minyak dan gas global.
Perdana Menteri berkata ketika ini wujud kebimbangan mengenai penutupan Selat Hormuz yang merupakan laluan penting eksport minyak serta gas asli cecair dari rantau Asia Barat.
"Ini merupakan soal kesan ekonomi," kata beliau.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) Haitham Al Ghais serta peserta utama industri minyak di luar persidangan Energy Asia 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.
Persidangan Energy Asia 2025 bertemakan “Delivering Asia’s Energy” dari pada 16 hingga 18 Jun merupakan anjuran Petronas.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pihaknya yakin OPEC memantau konflik itu dengan teliti namun ia tidak semestinya memberikan kesan buruk ke atas industri minyak atau mekanisme harga komoditi.
"Sudah tentu, mereka (OPEC) memantau situasi ini dengan teliti, namun tidak semestinya ia memberikan kesan negatif kepada industri atau mekanisme harga. Kita berharap konflik itu boleh diselesaikan dengan lebih awal," kata beliau.
Dalam pada itu, Anwar mengumumkan pelaburan besar melibatkan TotalEnergies dan Eni yang berpangkalan di Itali serta Saudi Aramco dari Arab Saudi, sekali gus membuktikan keyakinan terhadap keupayaan Petronas menarik pelaburan asing ke negara ini.
"Beberapa perjanjian utama berkaitan pelaburan di Malaysia akan dimeterai di Persidangan Energy Asia 2025 yang berlangsung selama tiga hari ini," kata beliau.
Terdahulu, Anwar menyampaikan ucaptama dan merasmikan persidangan yang menampilkan 180 penceramah terkemuka dari seluruh dunia di samping menarik kehadiran lebih 4,000 perwakilan termasuk kalangan penggubal dasar, profesional tenaga serta pemimpin industri.
Antara agenda utama persidangan itu adalah sesi pleno bertajuk “Energy Present, Energy Future: Pathways for Asia’s Just Transition” diikuti dengan dialog kepimpinan “Energy at the Crossroads: Policies, Technologies and Investments”.
Comments