Konflik FGV - T'ganu mungkin beri kesan besar ribuan peneroka Felda
- Suara Keadilan
- 10 minutes ago
- 2 min read

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu, Wan Hakim Wan Mokhtar memberi amaran bahawa tindakan kerajaan negeri Terengganu menyita tanah ladang yang diuruskan FGV Holdings bukan sahaja menjejaskan syarikat itu malah bakal memberi kesan langsung kepada puluhan ribu peneroka FELDA di seluruh negara.
Beliau menjelaskan banyak pihak keliru mengenai status FGV yang kini bukan lagi syarikat tersenarai awam sebaliknya dimiliki kira-kira 94% oleh Felda.
"Apa-apa yg berlaku pada FGV, untung berkurang bila ladang disita, kejatuhan nilai aset semuanya akan dirasai secara terus oleh peneroka Felda.
"Kerajaan Pusat dah tak bagi apa-apa peruntukan pada Felda untuk sekian lama. Felda harus jana pendapatan sendiri untuk uruskan ladang-ladangnya dan ladang milik peneroka," katanya dalam hantaran di Facebook.
Bekas wakil rakyat Air Putih berkata Felda juga perlu memberikan pinjaman baiki rumah peneroka, sediakan pendahuluan pendapatan ketika tanam semula selain membina perumahan generasi baharu tanah rancangan itu.
"Semua ini memerlukan sumber dalaman FELDA. Bila FGV terjejas, peneroka juga terjejas," katanya yang juga anak kepada bekas Menteri Besar Terengganu paling lama berkhidmat Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.
Beliau menjelaskan tanah yang diuruskan FGV dipajak daripada Felda pada kadar RM250 juta setahun bagi keseluruhan lebih 350,000 hektar termasuk 15,000 hektar di Terengganu.
Tanah tersebut adalah tanah milik negeri yang diberi hak urus kepada Felda di bawah Akta Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA) 1960, kata beliau.
"Jika kerajaan negeri mengambil balik tanah itu, pendapatan pajakan Felda akan luput serta-merta," jelas beliau sambil mengingatkan peneroka Felda agar mengikuti isu ini dengan teliti kerana masa depan mereka secara langsung bergantung kepada kestabilan Felda dan FGV.
Wan Hakim berkata isu tersebut juga memberikan kesan ekonomi yang lebih besar kepada rakyat Terengganu khususnya mereka yang bekerja dalam rantaian industri sawit.
"Ramai anak Terengganu bekerja di kilang, pembekal, logistik dan seluruh ekosistem FGV. Ini bukan soal peneroka sahaja tetapi ribuan keluarga akan terkesan apabila operasi terganggu," katanya.
Menurut beliau, tindakan agresif kerajaan negeri hari ini merupakan kali pertama sebuah negeri pembangkang melancarkan konflik terbuka terhadap institusi nasional yang menjaga kepentingan besar orang Melayu seperti Felda.
"Perang besar politik Nik Aziz dengan Dr Mahathir dulu pun tidak sampai tahap ini. Dalam urusan negeri dan Pusat, mereka tetap menghormati, tiada ugut-mengugut," tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa tindakan ini menghairankan kerana ia dilakukan terhadap kerajaan Persekutuan yang masih menyalurkan dana khas dan bantuan besar kepada Terengganu.
"Negeri dapat RM1.5 bilion Dana Khas Petroleum dan RM400 juta pemberian Persekutuan bagi 2024. Perang besar dilancar atas tangan yang memberi," tambahnya.
Wan Hakim mengingatkan kerajaan negeri bahawa sebarang rundingan besar perlu dilakukan dari “position of strength” dan bukan melalui tindakan yang boleh mencetuskan reaksi balas daripada kerajaan Persekutuan.
"Kalau nak ikut buku, ikutlah buku. Felda bayar apa yang tertunggak. Tapi jangan sampai bab Dana Khas pun kerajaan Pusat ikut buku juga… naya (ainiaya) kita," katanya





