top of page

PM buktikan kemampuan urus negara, kekal kestabilan politik

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 9
  • 2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan telah membuktikan kemampuan untuk mengurus negara dan mengekalkan kestabilan politik.


Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban, Dr Mazlan Che Soh (gambar) menyifatkan pencapaian itu sebagai manifestasi kematangan institusi politik Malaysia dalam mengurus perbezaan dan membina konsensus dalam landskap politik yang kompleks.


"Pengalaman politik negara sejak PRU15 menunjukkan kerajaan campuran mampu berfungsi secara lebih stabil berbanding tanggapan sebelum ini yang sering mengaitkan pertukaran kerajaan dengan krisis politik.


"Kerajaan Perpaduan yang dibentuk berjaya mengelakkan ketidaktentuan politik yang berlarutan, tetapi pada masa yang sama memerlukan banyak kompromi politik," katanya dipetik.


Dr Mazlan sementara itu berkata, ukuran sebenar kejayaan seseorang Perdana Menteri bukan sekadar keupayaannya untuk kekal berkuasa, tetapi sejauh mana pemimpin itu berjaya menukarkan kestabilan politik kepada reformasi institusi yang berkekalan.


"Anwar berjaya melepasi fasa pertama iaitu menstabilkan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, namun fasa kedua yang lebih sukar ialah menterjemahkan kestabilan tersebut kepada perubahan struktur yang dapat dirasai rakyat," tambahnya.


Mengulas lanjut, Mazlan berkata, Anwar perlu memastikan pentadbirannya meninggalkan legasi yang boleh diukur melalui reformasi institusi dan pengukuhan daya saing negara dan bukan lagi soal mempertahankan kedudukan sebagai Perdana Menteri.


Usaha terbabit jelasnya merangkumi peningkatan produktiviti ekonomi, pemerkasaan integriti tadbir urus serta pembinaan kapasiti negara untuk berdepan cabaran masa hadapan.


"Sejarah lazimnya tidak menilai pemimpin berdasarkan tempoh mereka memegang jawatan, tetapi berdasarkan perubahan yang berjaya mereka tinggalkan kepada negara.


"Selepas hampir empat tahun mentadbir negara, persoalan utama kini bukan lagi sama ada Anwar mampu bertahan sebagai Perdana Menteri.


"Sebaliknya sama ada kestabilan politik yang dibinanya mampu diterjemahkan kepada reformasi yang terus kekal selepas berakhirnya era pentadbirannya. Disitulah ukuran sebenar kejayaan seorang negarawan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page