Konflik Asia Barat perlu penyelesaian menyeluruh, tamatkan pendudukan Palestin
- Helmi Mohd Foad
- 59 minutes ago
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan konflik di Asia Barat tidak boleh dilihat secara terpisah daripada krisis kemanusiaan yang lebih luas sambil memberi amaran bahawa keganasan berterusan di rantau itu terus mengorbankan orang awam dan mengancam kestabilan global.
Perdana Menteri berkata konflik hampir lapan dekad itu tidak boleh dipisahkan daripada realiti sejarah dan struktur ketidakadilan yang berpanjangan di rantau berkenaan selain menggesa masyarakat antarabangsa tidak mengalihkan perhatian daripada penderitaan yang sedang berlaku.
"...kita semua tahu bahawa konflik ini tidak berlaku dalam vakum. Tumpuan kita tidak seharusnya dialihkan daripada situasi keseluruhan di Asia Barat, pertumpahan darah tanpa henti terhadap rakyat Palestin, genosid di Gaza dan pengeboman berterusan di Lubnan," katanya dalam ucaptama Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-39 di Kuala Lumpur hari ini.
Anwar yang telah memperjuangkan isu Palestin sejak era 1970-an lagi menegaskan bahawa konflik wilayah bergolak itu perlu difahami dalam konteks lebih luas melibatkan pendudukan, penindasan dan perampasan yang berterusan terhadap rakyatnya.
Katanya, perlu ditegaskan berulang kali bahawa pendudukan, penindasan dan perampasan terhadap rakyat Palestin yang berterusan adalah sebahagian daripada kempen pendatang haram kolonial yang dijalankan oleh Zionis.
Tegasnya, sejarah perjuangan menentang penjajahan seharusnya menjadi pengajaran kepada masyarakat antarabangsa bahawa ketidakadilan tidak boleh dibiarkan berterusan tanpa tindakan.
Dalam masa sama, Anwar berkata laporan-laporan antarabangsa terkini menunjukkan tahap penderitaan yang amat serius, termasuk dakwaan pembunuhan berskala besar dan kecederaan terhadap puluhan ribu kanak-kanak Palestin sejak konflik tercetus.
Dapatan terkini Suruhanjaya Siasatan Bebas Antarabangsa mengenai tindakan pasukan keselamatan Israel sejak 7 Oktober 2023 mendedahkan kisah kengerian yang tidak terungkap dengan pembunuhan secara sistematik, disengajakan dan disasarkan terhadap lebih 20,000 kanak-kanak Palestin serta mencederakan lagi 44,000 yang lain, tegas Anwar.
"Pada pandangan saya, keadaan ini telah mencapai tahap di mana istilah ‘genosid’ pun tidak lagi sepenuhnya mampu menggambarkan kebiadaban, kebejatan dan kejahatan luar biasa terhadap jenayah-jenayah kejam ini," katanya.
Beliau turut menyifatkan situasi tersebut sebagai “luka yang bernanah pada hati nurani kolektif dunia”, sambil menegaskan bahawa kegagalan campur tangan oleh pihak berpengaruh hanya memburukkan keadaan.
Anwar juga mengaitkan konflik di Asia Barat dengan krisis lain di dunia termasuk perang Rusia-Ukraine yang masih berlarutan serta perang saudara di Sudan yang menurutnya sering diabaikan oleh masyarakat antarabangsa walaupun melibatkan kekejaman serius terhadap orang awam.
Beliau berkata semua bentuk keganasan dan peperangan di mana-mana rantau perlu dihentikan segera dengan memberi keutamaan kepada perlindungan nyawa orang awam.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut memberi amaran mengenai apa yang disifatkannya sebagai kemerosotan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa apabila kuasa dan kepentingan sempit dilihat semakin mengatasi obligasi perjanjian antarabangsa.
Merujuk kepada pengalaman Malaysia apabila penghantaran peluru berpandu tentera laut negara ini dibatalkan secara unilateral oleh pembekal Norway walaupun hampir keseluruhan bayaran telah dibuat, Anwar menyifatkannya ia sebagai contoh jelas amalan berat sebelah dalam hubungan antarabangsa.
"Adakah wajar sesetengah negara mengabaikan undang-undang antarabangsa dan norma sementara yang lain dikenakan standard pematuhan yang paling ketat?" soal beliau.
"Jika inilah cara rakan di Barat melayan negara-negara Global Selatan, jika prinsip “satu peraturan untuk saya, dan satu lagi untuk kamu” benar-benar menjadi norma yang ingin diketengahkan, maka ia tidak memberi petanda baik kepada masa depan kita sebagai rakan dan sahabat yang setara," katanya lagi.
