Konflik Asia Barat: Diplomasi budiman Malaysia disokong - ABIM
- Azuan Ab Rahman

- 18 hours ago
- 1 min read

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyatakan sokongan terhadap pendekatan “diplomasi budiman” yang digerakkan Malaysia dalam menangani konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin (gambar) berkata pendekatan diplomasi yang berhati-hati, strategik dan berprinsip merupakan langkah paling wajar bagi meredakan ketegangan geopolitik di rantau tersebut.
"Dalam situasi geopolitik yang semakin tegang ketika ini, perdekatan yang paling bertanggungjawab dan reasona adalah diplomasi budiman yang ada prinsip yang tersendiri.
"Sokongan ABIM terhadap pendekatan kerajaan Malaysia, khususnya di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim Berpaksikan kepada keyakinan bahawa konflik yang berpanjangan tidak boleh diselesaikan melalui pendekatan konfrontasi ketenteraan semata-mata. Sebaliknya ia memerlukan ruang untuk diperbanyakkan dialog dan rundingan," katanya dalam kenyataan.
Ahmad Fahmi menjelaskan, amalan diplomasi inklusif yang diamalkan sejak sekian lama membolehkan Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan pelbagai pihak termasuk negara-negara Teluk, Iran serta kuasa besar dunia seterusnya berperanan sebagai jambatan dialog dalam situasi konflik.
"Malaysia secara tradisinya memainkan peranan sebagai jambatan dialog antara Asia Tenggara, dunia Islam dan masyarakat antarabangsa yang menuntut pendekatan seimbang, berhemah dan berpandangan jauh agar kita terus dipercayai dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan global.
"Malaysia perlu terus menyuarakan keprihatinan terhadap keadilan dan keamanan, khususnya dalam isu Palestin dan penderitaan rakyat Gaza, namun pada masa yang sama memastikan langkah diambil tidak menutup ruang diplomasi yang sedang diusahakan," tambahnya.
Menerusi kenyataan sama, beliau turut menyeru semua pihak termasuk masyarakat MADANI agar menyokong inisiatif diplomatik yang konstruktif serta mengelakkan polemik yang boleh menjejaskan ruang diplomasi yang sedang berjalan.
Malaysia tegasnya wajar memainkan peranan sebagai negara yang mengutamakan dialog, kestabilan dan keamanan demi kepentingan umat manusia sejagat.




Comments