Konflik Asia Barat: Cadang pelaksanaan moratorium pinjaman bank
- Akmal Manaf

- Apr 13
- 2 min read

Kerajaan disaran meneliti pelaksanaan semula moratorium pinjaman bank secara bersasar sebagaimana yang pernah diguna pakai sewaktu pandemik Covid 19 lalu sebagai pendekatan segera bagi membantu meringankan tekanan yang dihadapi rakyat dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik global yang memberi kesan kepada ekonomi negara.
Timbalan Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Ustaz Fikri Aziz menyifatkan moratorium bukanlah penghapusan hutang, sebaliknya merupakan satu bentuk penangguhan bayaran komitmen kewangan yang boleh memberi ruang kepada isi rumah untuk menyusun semula keutamaan perbelanjaan mereka.
Dalam tempoh ini katanya, lebihan tunai yang tersedia dapat digunakan untuk keperluan asas, sekali gus memberikan kelegaan kepada rakyat dalam mengurus kehidupan seharian.
"Dalam masa yang sama, langkah ini berpotensi meningkatkan semula kuasa beli rakyat. Apabila aliran tunai bertambah, perbelanjaan domestik turut dirangsang, seterusnya memberi limpahan manfaat kepada perniagaan tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Kesan gandaan ini penting bagi memastikan ekonomi domestik terus kekal rancak. Namun begitu, pelaksanaan moratorium ini perlu dirangka secara teliti dan bersasar.
"Keutamaan harus diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, termasuk segmen B40 dan M40 tertentu serta mereka yang paling terkesan," katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Fikri berpendapat, pendekatan menyeluruh secara pukal perlu dielakkan bagi memastikan keseimbangan antara membantu rakyat dan mengekalkan kestabilan sistem kewangan.
Katanya, pendekatan itu juga selari dengan peranan kerajaan sebagai penstabil ekonomi yang bertanggungjawab.
"Intervensi yang bersifat bersasar seperti ini mampu memberi impak yang lebih menyeluruh sekiranya dilaksanakan dengan berhemah.
"Pada masa sama, kerjasama erat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta institusi kewangan adalah penting bagi memastikan pelaksanaan dasar ini tidak menjejaskan keutuhan sistem perbankan negara.
"Saya percaya bahawa pendekatan yang pragmatik dan tersusun ini mampu memberikan kelegaan kepada rakyat, di samping membantu merangsang semula aktiviti ekonomi domestik secara lebih mampan," ujar beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Putrajaya.




Comments