top of page

Komunikasi Radio, Internet Bersepadu Bergerak dilancar di Sabah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 8
  • 2 min read

Datuk Fahmi berucap dalam majlis pelancaran PRIME di Sabah
Datuk Fahmi berucap dalam majlis pelancaran PRIME di Sabah

Oleh: Akmal Manaf


Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) peringkat negeri Sabah telah dilancarkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil semalam.


Pelancaran itu diadakan sempena program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Kampung Sungai Imam, Tawau, Sabah.


Unit Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, PRIME merupakan sistem komunikasi bergerak berasaskan kenderaan oleh pihaknya yang dilengkapi pelbagai teknologi termasuk satelit, rangkaian selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan sokongan dron.


"PRIME berupaya menjalankan operasi menyelamat semasa bencana bersama agensi terlibat dengan lebih pantas dan berkesan.


"Setakat ini, dua unit PRIME telah ditempatkan di Semenanjung Malaysia dan Sabah, manakala unit ketiga untuk Sarawak dijangka siap pada Oktober 2025," kata Suruhanjaya itu menerusi satu kenyataan.


Dalam kenyataan sama, MCMC berkata, HBK turut meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serentak di 1,099 NADI seluruh negara dengan pelbagai pengisian menarik seperti aktiviti perkhidmatan pintar, Jualan RAHMAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pameran oleh usahawan NADI.


"Turut diadakan, penyampaian sumbangan program Didik Kasih Peranti MADANI (PERMAI) Pelajar Cemerlang SPM dan STPM oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) serta penyampaian surat lantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Parlimen Kalabakan, Tawau dan Lahad Datu.


"Terdahulu, Datuk Fahmi juga meninjau kualiti liputan komunikasi di menara Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Kampung Kuala Merotai.


"Hasil ujian menggunakan aplikasi MCMC NEXUS mendapati menara ini menawarkan kelajuan sekitar 50Mbps bagi perkhidmatan 4G dan memanfaatkan kira-kira 1,200 penduduk," katanya.


Menara tersebut mula beroperasi pada 27 September 2024 menggunakan 4-Way Multi-Operator Core Network (MOCN) dengan perkongsian perkhidmatan oleh CelcomDigi, Maxis dan U Mobile, serta diuruskan oleh syarikat Redtone.


Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page