Komunikasi lucah di X: Lelaki 30 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang


Seorang pekerja khidmat pelanggan perbankan berusia 30 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan menggunakan aplikasi X (Twitter) bagi menghantar komunikasi berbentuk video lucah dengan niat untuk mengganggu orang lain.
Pertuduhan dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa MCMC, Siti Hajar Sulaiman, di hadapan Hakim YA Tuan Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan akaun X ‘@naterhasan’ untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berupa video yang lucah sifatnya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 26 Ogos 2024, manakala komunikasi berkenaan dikatakan telah dilihat pada 12 September 2024 kira-kira jam 11.30 pagi di MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya, dalam daerah Sepang, Selangor.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Berdasarkan peruntukan hukuman dalam pertuduhan, kesalahan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, serta denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.
Tertuduh tidak mengaku bersalah dan dikenakan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 29 Oktober 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.




Comments