Kompaun sebanyak RM1,000 yang dikenakan ke atas seorang petugas media mengejutkan calon KEADILAN DUN larkin, Dr Zamil Najwah Arbain.
Katanya, kompaun seharusnya sebagai jalan terakhir kerana wartawan biasanya berdisiplin tidak melanggar Prosedur Operasi Piawai (SOP) Covid 19 di tempat awam.
"Saya terkejut dengan kompaun RM1,000 yang dikenakan kepada salah seorang petugas media ketika sesi penamaan calon.
"Tatkala rakan-rakan media yang lain turut berkomunikasi dengan calon-calon tanpa sebarang aktiviti berkumpul, seorang petugas media berbahasa Cina ini terus dikenakan kompaun.
"Pada pandangan saya, ini merupakan sebahagian daripada intimidasi yang dikenakan ke atas petugas media yang berperanan memaksimumkan akses maklumat dan liputan kepada rakyat terhadap PRN kali ini," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berharap tiada lagi kompaun dikenakan kepada pihak media yang melaporkan pergerakan dan kempen para calon sepanjang Pilihan Raya Negeri Johor.
"Saya berharap agar rakan-rakan media kita dapat terus diberikan ruang untuk melakukan liputan kepada orang awam tentang PRN Johor kali ini dengan mengikut ketetapan SOP yang munasabah dan berkadaran," katanya lagi.
Comments