top of page

Komitmen banteras rasuah dorong pertumbuhan ekonomi — Anwar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 15
  • 2 min read

ree

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan usaha berterusan kerajaan membanteras rasuah sebagai salah satu pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mampan, adil dan inklusif.


Perdana Menteri berkata negara ini mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama 2025, dipacu oleh permintaan domestik dan pelaburan berterusan yang menjadi satu petunjuk jelas bahawa dasar integriti memberi kesan langsung kepada keyakinan pelabur dan persekitaran perniagaan.


“Komitmen tidak berbelah bahagi untuk menentang rasuah akan meningkatkan daya saing negara dan rantau, merangsang persekitaran perniagaan yang lebih dinamik dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif terutama untuk belia dan golongan terpinggir,” katanya dalam Persidangan Integriti dan Tadbir Urus Malaysia 2025 di Putrajaya hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pelabur tempatan dan asing kini semakin peka terhadap amalan tadbir urus yang baik dan Malaysia mahu menjadi destinasi pelaburan yang diyakini berdasarkan prinsip ketelusan dan keadilan.


Beliau menambah kerajaan bukan hanya memperbaiki kerangka undang-undang, malah memperkukuh sistem institusi agar dasar ekonomi negara tidak mudah dimanipulasi oleh kelompok berkepentingan atau dipengaruhi oleh kepentingan jangka pendek.


“Jika kita mahu negara ini kekal berdaya saing dan makmur, kita mesti bina asas ekonomi yang kukuh melalui institusi yang telus dan bebas daripada rasuah. Ini bukan soal reputasi semata-mata, tetapi soal daya tahan ekonomi,” tegasnya.


Selain pelabur besar, Anwar turut menekankan keperluan untuk menyokong usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar mereka dapat bersaing dalam persekitaran ekonomi yang adil dan bebas daripada amalan kronisme atau salah guna kuasa.


“PKS adalah tulang belakang ekonomi negara. Kita mahu pastikan mereka dapat berkembang dalam persekitaran yang menyokong inovasi dan tidak dibelenggu oleh birokrasi atau rasuah kecil-kecilan yang membunuh potensi mereka,” katanya.


Beliau menggesa sektor korporat, termasuk syarikat multinasional untuk menjadi rakan kongsi dalam membentuk budaya ekonomi yang bersandarkan etika, tanggungjawab sosial dan kecekapan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page