Komik ‘Wira Antirasuah’ perkukuh usaha perangi rasuah di bangku sekolah
- Suara Keadilan
- May 27
- 2 min read

Usaha memerangi gejala rasuah di negara ini terus diperkukuh menerusi pelancaran koleksi komik Wira Anti Rasuah, hasil kerjasama strategik antara Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, ketika melancarkan komik tersebut di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) pada Isnin, menyatakan bahawa penghasilan komik ini merupakan langkah signifikan dalam mendidik generasi muda, khususnya murid sekolah rendah, untuk membenci rasuah dan memahami kesan buruknya terhadap negara.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada SPRM atas komitmen besar dalam merealisasikan usaha kreatif ini.
"Mudah-mudahan inisiatif ini dapat diperluaskan dan meningkatkan advokasi masyarakat, terutamanya dalam kalangan generasi muda, mengenai bahaya rasuah," katanya dipetik.
Majlis pelancaran itu diadakan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, dan turut menyaksikan simbolik penyerahan koleksi komik daripada Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, kepada Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan.
Komik Wira Antirasuah diterbitkan dalam bentuk cetak dan animasi, dan merupakan terjemahan dalam Bahasa Melayu daripada buku asal bertajuk Bribe Busters: A Trace Comic Book.
Komik tersebut kemudian akan diedarkan ke semua sekolah rendah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai bahan pembelajaran.
Fadhlina sementara itu percaya, bahawa komik ini boleh digunakan oleh guru bukan sahaja di dalam bilik darjah tetapi juga dalam aktiviti luar kelas, selari dengan kandungan kurikulum sedia ada.
Beliau turut mencadangkan agar bahan ini dimuat naik ke dalam platform Digital Education Learning Initiative Malaysia (DELIMa) agar ia boleh dimanfaatkan dalam bentuk yang lebih interaktif.
"Platform ini memang digunakan secara aktif oleh guru dan murid. Maka, dengan adanya kandungan interaktif, mesej antirasuah dapat difahami dengan lebih mendalam serta disebarluaskan nilainya dalam kalangan generasi muda," tambahnya.
Commenti