top of page

Kolaborasi agung: Perpaduan Melayu perlu teras MADANI, bukan assabiyah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Cadangan “Kolaborasi Agung” dan wawasan UMNO sebagai “Rumah Bangsa” yang dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025/2026 dimaklumi Parti Amanah Negara (AMANAH), namun parti itu menegaskan bahawa sebarang usaha penyatuan Melayu mesti harus berteraskan nilai MADANI dan Rahmah, bukannya berpaksikan politik semata mata.


Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) berkata, AMANAH sentiasa terbuka kepada usaha memartabatkan perpaduan ummah, namun menolak sebarang kerjasama politik yang terpisah daripada kompas nilai yang jelas.


"Perpaduan ini tidak boleh berlaku dalam vakum nilai. Bagi AMANAH, terdapat ‘garis merah’ yang tidak boleh dilanggar," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, antara prinsip utama yang digariskan AMANAH ialah kompas Rahmah yang menuntut perpaduan bersifat inklusif dan menolak assabiyah atau perkauman sempit.


Katanya, kekuatan Melayu seharusnya berfungsi melindungi semua rakyat Malaysia selaras dengan prinsip Rahmatan lil ‘Alamin.


Dalam masa sama, AMANAH turut menegaskan keperluan menjunjung integriti dan tadbir urus yang baik dalam agenda perpaduan Melayu.


"Kami menolak sebarang kerjasama yang dijadikan "perisai" untuk melindungi individu daripada tindakan undang-undang atau menutup isu integriti," tegas beliau.


Dr Mujahid turut mengingatkan agar sebarang inisiatif penyatuan tidak dijadikan jalan pintas untuk menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan atau dimanipulasi sebagai taktik ‘tebuk atap’.


"Sebarang usaha penyatuan tidak boleh digunakan untuk menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan atau diambil peluang pihak terdesak sebagai taktik pintu belakang. Mandat rakyat wajib dihormati," katanya.


Beliau menambah, rakyat hari ini menuntut hasil yang substantif berupa penyelesaian kepada isu ekonomi, sosial dan pendidikan, bukannya konsolidasi kuasa elit politik Melayu semata-mata.


"Cara terbaik menyatukan bangsa adalah dengan membuktikan bahawa kepimpinan Melayu adalah kepimpinan qudwah (contoh) yang paling adil dan amanah untuk semua," katanya sambil memetik ayat al-Quran, “Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan jangan bercerai-berai” (Ali Imran: 103).


Cadangan kolaborasi agung oleh UMNO mendapat banyak komentar sejak diumumkan oleh Presiden Datuk Seri Dr Zahid Hamidi pada Sabtu lalu.


Bagaimanapun penganalisis politik berpandangan kolaborasi itu masih belum jelas apakah akan menghimpunkan Pas, Pejuang, Bersatu - parti teras Melayu - dalam kerangka kerjasama politik dengan UMNO bagi menghadapi pilihan raya umum ke 16.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page