top of page

PRU16: Teori Domino, Pendulum Dan Sokongan Rakyat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 3 min read

Oleh: Dr Bam Al-Haj


ULASAN: Teori Domino dalam politik merujuk kepada situasi di mana kejatuhan atau perubahan kuasa di satu kawasan, parti atau institusi akan mencetuskan kesan berantai yang menyebabkan kejatuhan atau perubahan serupa di kawasan lain.


Ia berasaskan idea bahawa kejadian politik tidak berlaku secara terasing, sebaliknya mencipta momentum psikologi dan politik yang mendorong aktor lain mengikut jejak yang sama.


Dalam konteks politik, teori ini sering dikaitkan dengan gelombang sentimen rakyat, hilangnya keyakinan terhadap kuasa sedia ada, serta kesan penularan yang pantas, sama ada melalui pilihan raya, lompat parti atau perubahan sokongan massa.


Teori Pendulum politik


Teori Pendulum pula melihat politik sebagai proses ayunan sokongan rakyat yang bergerak secara berkala dari satu kuasa ke kuasa lain, seperti bandul jam yang berayun ke kiri dan ke kanan.


Penulis - Dr Bam Al-Haj
Penulis - Dr Bam Al-Haj

Perubahan ini berlaku secara lebih perlahan dan dipengaruhi oleh faktor seperti prestasi kerajaan, tekanan ekonomi, isu integriti dan keletihan pengundi terhadap pemerintah semasa.


Teori ini menekankan bahawa rakyat tidak kekal setia kepada satu kuasa, sebaliknya menggunakan pilihanraya sebagai mekanisme imbangan, menghukum kerajaan yang gagal dan memberi peluang kepada pihak lain, tanpa semestinya menjatuhkan keseluruhan sistem secara serentak.


Perhatikan pencapaian BN dalam pilihan raya umum (PRU) sejak 1986:


1986 - kerusi BN meningkat

1990 - kerusi BN menurun

1995 - kerusi BN meningkat

1999 - kerusi BN menurun

2004 - kerusi BN meningkat

2008 - kerusi BN menurun

2013 - kerusi BN menurun

2018 - kerusi BN menurun

2022 - kerusi BN menurun



Perhatikan pula pencapaian parti berikut di peringkat Parlimen:


PN-Pas:


PRU 13 - 21 kerusi

PRU 14 - 18 kerusi

PRU 15 - 49 kerusi


PN-Bersatu:


PRU 13 - belum wujud

PRU 14 - 13 kerusi

PRU 15 - 28 kerusi


GPS:


PRU 13 - 22 kerusi

PRU 14 - 18 kerusi

PRU 15 - 22 kerusi


Warisan:


PRU 13 - belum wujud

PRU 14 - 8 kerusi

PRU 15 - 3 kerusi


PH-KEADILAN:


PRU 13 - 30 kerusi

PRU 14 - 50 kerusi

PRU 15 - 30 kerusi


PH-DAP:


PRU 13 - 38 kerusi

PRU 14 - 42 kerusi

PRU 15 - 40 kerusi


PH-AMANAH:


PRU 13 - belum wujud

PRU 14 - 11 kerusi

PRU 15 - 8 kerusi


Pejuang:


PRU 13 - belum wujud

PRU 14 - 6 kerusi

PRU 15 - 0 kerusi


BN-MIC:


PRU 13 - 4 kerusi

PRU 14 - 1 kerusi

PRU 15 - 1 kerusi


BN-MCA:


PRU 13 - 7 kerusi

PRU 14 - 2 kerusi

PRU 15 - 2 kerusi


BN-UMNO:


PRU 13 - 88 kerusi

PRU 14 - 53 kerusi

PRU 15 - 26 kerusi


Turun naik sokongan


Semua parti mengalami pasang surut sokongan rakyat. Saya perhatikan sokongan terhadap BN memang semakin merosot sejak 1990 akibat perpecahan dalaman.


BN hanya bertahan sehingga 2013 (PRU 13) kerana berjaya melakukan "gerrymandering", iaitu melakukan perubahan kawasan sempadan pilihanraya yang dibenarkan oleh undang-undang apabila sokongan mereka pada PRU sebelumnya merosot. Maka turun-naik pencapaian BN dikatakan menepati Teori Pendulum.


Namun apabila gagal mendapat sokongan majoriti dua pertiga, helah "gerrymandering" tidak lagi boleh dilaksanakan.


Sebenarnya undi popular BN mulai merosot sejak PRU 13. Jika dicampur semua jumlah undi, BN hanya mendapat 48 peratus.

Maka pada PRU 14, BN tumbang. Pada PRU 15 juga sama.


Namun keadaan Parlimen Tergantung menyebabkan BN yang menang 30 kerusi Parlimen mempunyai kuasa penentu atau "king maker". Lalu tertubuhlah Kerajaan Perpaduan.


Apakah keputusan PRU 16 akan mengulangi Teori Domino kejatuhan BN atau sebaliknya? Ia bergantung kepada halatuju parti itu dalam menghadapi persepsi pengundi Melayu. PRU16 adalah perang persepsi, terutama di media sosial.


Senario PRU 16


Hal ini bergantung kepada persepsi pengundi terhadap keupayaan Kerajaan Perpaduan (Madani) mengatasi masalah kos sara hidup, mengukuhkan kedudukan ekonomi dan melaksanakan reformasi institusi, khususnya dalam memerangi rasuah.


Apakah gabungan baharu parti-parti politik dalam menghadapi PRU 16? Pilihan sebenarnya terletak pada BN dan Pas, dua parti terbesar orang Melayu. Adakah umpan "Muafakat Nasional (MN)" Pas akan disambut oleh UMNO? Atau adakah BN lebih selesa dengan PH?


Apakah Teori Domino atau Teori Pendulum akan berlaku? Apapun, keputusan pilihanraya bergantung kepada "trust" atau siapakah yang lebih dipercayai oleh rakyat untuk menerajui kerajaan lima tahun mendatang.


Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan bukannya pendirian rasmi Suara Keadilan

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page