Kembalikan UPSR, PT3 perlu kajian mendalam, berhikmah - Wadah
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Cadangan kerajaan untuk mengembalikan semula pelaksanaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) membuka semula perdebatan nasional mengenai hala tuju sebenar pendidikan negara.
Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Ustaz Hasri Harun berkata, sebarang keputusan besar dalam dasar pendidikan nasional perlu dibuat secara berhikmah, berasaskan bukti dan berteraskan pembangunan insan secara menyeluruh selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Katanya, pendidikan bukan sekadar peperiksaan dan pendidikan rendah seharusnya menjadi fasa pembinaan asas literasi, numerasi, adab, akhlak dan karakter, bukannya medan persaingan berlebihan.
"Pengalaman lalu menunjukkan bahawa UPSR dan PT3 telah menyumbang kepada budaya exam-oriented yang menekan murid, guru dan ibu bapa, sekali gus mengecilkan ruang pembelajaran bermakna.
"Kami menyokong pendekatan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang ditambah baik secara serius, telus
dan konsisten.
"Penilaian berterusan yang menilai potensi murid secara holistik merangkumi akademik, sahsiah, kreativiti dan kemahiran berfikir lebih selari dengan keperluan pendidikan abad ke-21," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ustaz Hasri lagi, jika UPSR dan PT3 ingin diteruskan atau diperkenalkan semula dalam sebarang bentuk, pihaknya berpandangan bahawa kerajaan perlu terlebih dahulu memastikan beberapa aspek seperti kesiapsiagaan guru dari sudut latihan dan beban tugas.
Selain itu katanya perlu diambil kira adalah tentang kesaksamaan peluang antara sekolah bandar dan luar bandar dan sistem sokongan psikososial murid agar tidak berlaku tekanan melampau.
Ujarnya, tanpa persediaan rapi, perubahan dasar hanya akan menambah kekeliruan dan ketidakstabilan dalam sistem pendidikan.
"Dalam kerangka Malaysia MADANI, pendidikan harus melahirkan insan yang berilmu, beradab, beretika dan berfikiran kritis, bukan sekadar cemerlang dalam ujian piawai.
"Oleh itu, kami berpandangan fokus utama pendidikan negara perlu kekal kepada pembinaan insan dan tamadun, bukan kembali kepada pendekatan lama tanpa penilaian mendalam," katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, Ustaz Hasri menegaskan, masa depan pendidikan negara tidak wajar ditentukan oleh nostalgia sistem lama, tetapi melalui keberanian melakukan pembaharuan berasaskan hikmah, data dan nilai kemanusiaan.
"Keputusan berkaitan UPSR dan PT3 mesti mencerminkan komitmen negara terhadap pendidikan yang adil, seimbang dan berteraskan insan.
"Pendidikan yang benar bukan sekadar menguji kecerdasan minda, tetapi membina kebijaksanaan insan.
"Kami menggesa kerajaan agar membuka ruang libat urus awam yang tulen melibatkan guru, ibu bapa, pakar pendidikan, NGO dan masyarakat sivil sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
"Dasar pendidikan yang baik lahir daripada musyawarah, bukan keputusan tergesa-gesa," ujar beliau.









Comments