Oleh: Abdullah Zaid
Angkatan Muda KEADILAN menyifatkan garis panduan Kod Tatalaku kepada platform media sosial bukan bertujuan menyekat hak kebebasan masyarakat, sebaliknya membendung jenayah siber daripada terus berleluasa.
Ketua Penerangannya, Nabil Halimi berkata jenayah siber seperti eksploitasi kanak-kanak dalam talian, penipuan dalan talian, judi, buli siber, hasutan keganasan dan perkauman sememangnya memerlukan pencegahan di media sosial sebelum ianya menular.
"Dunia siber bukan lagi escapisme daripada dunia realiti, namun ianya sendiri adalah realiti masyarakat pada zaman edan ini.
"Oleh sebab itu adalah mustahak untuk diadakan satu bentuk perundangan demi menyelamatkan maruah, harta dan anak-anak kita daripada jenayah siber ini," katanya ketika dihubungi.
Jelas beliau, langkah yang diambil Kerajaan Madani bukanlah sesuatu yang asing memandangkan negara lain antaranya Kesatuan Eropah, Singapura, Indonesia, Australia dan Ireland juga mengambil pendekatan yang sama.
Katanya, sekiranya negara maju yang terkenal dengan amalan hak asasi manusia memperkenalkan undang undang tertentu kepada platform media sosial, mengapakah tindakan Malaysia dipertikaikan oleh segelintir rakyat.
"Kita harus sedar bahawa dunia kini adalah dunia digital yang merupakan elemen penting kepada masyarakat di era revolusi industri 4.0.
"Jadi janganlah bertopengkan kebebasan, maka harta kita, maruah kita, anak-anak kita serta kestabilan negara digadaikan demi kepentingan gergasi komunikasi (pengendali platform media sosial) ini," ujarnya lagi.
Terdahulu, Kementerian Komunikasi bercadang untuk mewujudkan garis panduan Kod Tatalaku ke atas platform media sosial yang beroperasi di Malaysia.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, kod tatalaku itu amat perlu diwujudkan kerana penyedia platform pada waktu ini kurang bekerjasama membendung jenayah di media sosial.
Melalui kod itu, katanya, pengendali media sosial boleh diambil tindakan sekiranya terdapat salah laku di platform mereka.
Jelasnya, pihak kementerian ketika ini sedang mengadakan proses libat urus dengan pihak semua pihak berkenaan kod tersebut sebelum pelesenan perkhidmatan media sosial dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun hadapan.
Comments