Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini telah merakam percakapan Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman berikutan sedutan video klip Hari Raya Aidilfitri usahawan kosmetik tersebut di media sosial yang dianggap melanggar adab.
MCMC dalam satu kenyataan petang tadi berkata, rakaman percakapan tersebut susulan aduan yang diterima oleh MCMC berhubung kandungan video teaser Hari Raya yang dimuat naik oleh usahawan kosmetik itu.
"Klip video raya yang dimuat naik di platform media sosial beliau dilihat sebagai kandungan yang bersifat jelik yang boleh melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
"Ini termasuk Seksyen 233 yang melarang pembuatan dan penghantaran komunikasi yang antara lain, bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain," kata kenyataan itu.
Menurut MCMC, setelah kertas siasatan siap, ianya akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Aliff Syukri hadir di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya bagi rakaman percakapan. Pegawai penyiasat telah menyita kad sim dipercayai milik suspek serta satu unit telefon bimbit yang telah digunakan untuk memuat naik video berkenaan bagi membantu siasatan.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 [Akta 588]. Jika sabit kesalahan, individu boleh dihukum denda maksimum RM50,000, atau penjara maksimum satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
Comments