top of page

KL20: 12 syarikat modal teroka antarabangsa tubuh pejabat di Malaysia



Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sebanyak 12 syarikat modal teroka antarabangsa akan menubuhkan pejabat dan dana baharu di Kuala Lumpur, dengan aset di bawah pengurusan bernilai berbilion ringgit dan rekod prestasi pelaburan yang cemerlang.


Perdana Menteri (PM) berkata, sejumlah syarikat berteknologi tinggi akan menyediakan kemudahan operasi, penyelidikan dan pembangunan serta ibu pejabat serantau untuk memberikan perkhidmatan ke pasaran Asia dan Asia Tenggara.


Bagi sektor semikonduktor, pegangan besar Malaysia dalam proses akhir telah menjadikannya kondusif untuk meneruskan proses awal yang bernilai tinggi, terutama dalam kategori reka bentuk litar bersepadu.


Untuk tujuan ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan rancangan membina taman reka bentuk litar bersepadu terbesar di Asia Tenggara, yang akan menempatkan penyewa utama bertaraf dunia dan bekerjasama dengan syarikat global seperti pereka cip British, Arm Holdings.


"Ini dilakukan dengan sokongan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) dan Kerajaan Negeri Selangor.


"Untuk menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk yang sesuai kepada ekonomi utama, kita juga akan menyaksikan sambungan bandar ke bandar antara Kuala Lumpur dan Hangzhou supaya modal, bakat dan akses pasaran tidak lagi menjadi penghalang kepada kejayaan," kata Anwar ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak KL20 2024 di Kuala Lumpur hari ini.


Perdana Menteri berkata keyakinan yang berterusan daripada pelabur terhadap semua bahagian ekosistem pemula niaga memberi peluang kepada Malaysia untuk mencipta usaha niaga teknologi termaju.


Beliau berkata kerajaan meletakkan Malaysia sebagai paksi kepada peneraju dalam semikonduktor, tenaga bersih, teknologi pertanian dan teknologi kewangan Islam.


Terdahulu Anwar berkata Sidang Kemuncak KL20 2024 dirangka secara strategik untuk memperkenalkan pembaharuan ketara yang bertujuan menarik pelaburan berkualiti dan bernilai tinggi dari seluruh dunia sambil pada masa yang sama memperkasakan usahawan tempatan untuk berkembang ke peringkat global dan merebut peluang yang baru muncul.


Anwar berkata sidang kemuncak itu menandakan usaha menyeluruh kerajaan untuk memangkin ekosistem teknologi.


"KL20 secara strategiknya selari dengan falsafah ekonomi pentadbiran pusat kerajaan ini, di bawah Rangka Kerja Ekonomi MADANI


"(Ini) didukung oleh prinsip bahawa pertumbuhan dan pengagihan ekonomi bergerak seiring dan pelarasan kerajaan mesti sejajar dengan kuasa pasaran," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page