KL-Tokyo perkukuh kerjasama AI, semikonduktor, keselamatan maritim
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 2 min read

Malaysia dan Jepun bersetuju memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, keselamatan maritim, tenaga dan kewangan ketika kedua-dua negara berusaha memperluaskan hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata, perbincangan beliau dengan rakan sejawatannya Sanae Takaichi berlangsung secara produktif dan meliputi pelbagai bidang penting termasuk pertahanan, industri strategik, peralihan tenaga, pembangunan modal insan serta isu-isu serantau dan antarabangsa.
"Malaysia komited untuk memperluaskan kerjasama pertahanan dan keselamatan maritim dengan Jepun, termasuk meneruskan kerjasama di bawah program Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) serta memuktamadkan Memorandum Kerjasama mengenai keselamatan dan keselamatan maritim.
"Malaysia adalah sebuah negara maritim dan Jepun telah sekian lama menjadi sahabat yang dipercayai dalam pelbagai bidang. Kerjasama ini akan terus diperkukuh," katanya pada sidang media bersama Takaichi selepas mesyuarat dua hala di Pejabat Perdana Menteri Jepun di Tokyo, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengiktiraf peranan Jepun dalam pembangunan ekonomi Malaysia sejak era perindustrian negara pada tahun 1970-an.
Menurut beliau, sokongan kerajaan dan industri Jepun menjadi antara faktor utama yang membantu Malaysia muncul sebagai sebuah ekonomi yang berdaya saing di rantau ini.
"Malaysia amat menghargai hakikat bahawa proses transformasi negara bermula dengan sokongan kukuh Jepun sama ada daripada kerajaan mahupun sektor industrinya," katanya.
Dalam bidang teknologi, Anwar berkata kedua-dua negara bersetuju memperluaskan kerjasama dalam AI, semikonduktor, teknologi digital, mineral kritikal dan rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.
Beliau berkata Malaysia kini berada pada kedudukan strategik untuk muncul sebagai hab semikonduktor dan teknologi digital serantau, sekali gus membuka peluang baharu kepada pelaburan Jepun dalam sektor bernilai tinggi.
"Kami bersedia memperluaskan kerjasama dalam sektor semikonduktor, mineral kritikal dan rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan."
Selain itu, beliau menyambut baik pemeteraian perjanjian jual beli gas asli cecair (LNG) jangka panjang antara Petronas dan JERA, syarikat tenaga terbesar di Jepun yang melibatkan pembekalan dua juta tan LNG setahun selama 20 tahun bermula 2028.
Anwar berkata perjanjian itu mencerminkan tahap kepercayaan yang tinggi serta hubungan ekonomi yang semakin kukuh antara kedua-dua negara.
Dalam sektor kewangan, beliau berkata Malaysia dan Jepun turut memperluaskan kerjasama menerusi pengaturan pertukaran mata wang dua hala serta usaha meningkatkan penggunaan ringgit dan yen dalam transaksi perdagangan.
"Usaha memperluaskan penggunaan mata wang tempatan amat penting bagi mengukuhkan hubungan ekonomi dan mengurangkan kebergantungan kepada mata wang negara ketiga," katanya.
Perdana Menteri turut menyambut baik persefahaman yang dicapai antara Bank Negara Malaysia dan Bank Pusat Jepun bagi menyokong agenda berkenaan.
Menyentuh isu serantau, Anwar berkata Malaysia menghargai sokongan Jepun terhadap usaha ASEAN menangani krisis Myanmar menerusi pelaksanaan Konsensus Lima Perkara.
Beliau berkata Malaysia dan Jepun berkongsi pandangan bahawa keamanan dan kestabilan serantau hanya dapat dicapai melalui dialog, penglibatan berterusan dan kerjasama pelbagai hala.
Anwar turut menyatakan sokongan Malaysia terhadap visi Indo-Pasifik yang Bebas dan Terbuka yang diperjuangkan Jepun selaras dengan usaha memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau Asia-Pasifik.
Menurut beliau, hubungan Malaysia-Jepun yang kini berada di bawah kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif akan terus menjadi pemacu kepada kerjasama yang lebih erat dalam bidang keselamatan, perdagangan, pelaburan, teknologi dan pembangunan mampan pada masa hadapan.
"Saya amat menghargai keterbukaan, persahabatan dan komitmen Perdana Menteri Takaichi dalam memperdalamkan Perkongsian Strategik Komprehensif antara kedua-dua negara," katanya.



Comments