top of page

KL hab hiburan: Pastikan tidak bercanggah Islam, sensitiviti masyarakat

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Cadangan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab hiburan antarabangsa perlu memastikan pembangunan industri itu berasaskan aktiviti yang sihat, terkawal serta tidak bercanggah dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan sensitiviti masyarakat serta keharmonian negara.


Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, kerajaan perlu menjelaskan terlebih dahulu bentuk hiburan yang dimaksudkan supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.


Pengerusinya, Wan Anwar Wan Ibrahim (gambar) berkata persoalan asas yang perlu diperjelaskan ialah berkaitan bentuk hiburan, skala, kandungan serta garis panduan dan kawalan yang akan digunakan dalam usaha menjadikan ibu negara sebagai hab hiburan.


"Persoalan asas perlu dijelaskan terlebih dahulu, apakah bentuk hiburan yang dimaksudkan? Apakah skala, kandungan, garis panduan dan kawalan yang akan digunakan?


"Perkara ini penting supaya masyarakat tidak dibiarkan membuat tafsiran sendiri yang akhirnya boleh mencetuskan kekeliruan dan polemik," katanya dalam kenyataan.


Menurut Wan Anwar berdasarkan konteks Malaysia, sebarang aktiviti termasuk berkaitan hiburan awam tidak boleh dilihat semata-mata daripada sudut ekonomi, pelancongan atau komersial.


"Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan orang Melayu, serta kewajipan menghormati sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam mestilah dijadikan keutamaan dalam setiap pertimbangan dasar," katanya.


Beliau menjelaskan Kuala Lumpur sebagai ibu negara merupakan wajah Malaysia yang dihuni masyarakat pelbagai kaum dan agama namun ia tetap berdiri atas asas Perlembagaan, adab ketimuran dan sensitiviti majoriti rakyat.


"Justeru itu, sebarang bentuk hiburan yang mahu diperkenalkan mestilah jelas, terkawal dan tidak bercanggah dengan nilai masyarakat," katanya.


Beliau berkata, AMANAH berpandangan pembangunan seni, budaya dan hiburan masih boleh digerakkan secara sihat, kreatif dan progresif tanpa mengabaikan batas agama, budaya serta keharmonian sosial.


"Kebebasan berkarya tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab menjaga adab awam dan sensitiviti masyarakat," katanya.


Sehubungan itu, beliau berkata, Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan AMANAH bersedia untuk bertemu dengan pihak menteri bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta bertukar pandangan secara profesional mengenai hasrat dan kesediaan Kuala Lumpur dalam perkara itu.


"Dialog terbuka amat penting supaya pembangunan sektor hiburan tidak menjadi punca ketegangan, sebaliknya dapat dibentuk dalam kerangka yang seimbang, bertanggungjawab dan menghormati kedudukan Islam, orang Melayu serta kepelbagaian masyarakat Malaysia," katanya.


Sebelum ini, laporan media tempatan memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata kerajaan sedang mempergiat usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab hiburan serantau menerusi pelbagai pembaharuan bagi menarik lebih banyak acara antarabangsa ke ibu negara.


Beliau berkata, langkah utama antaranya ialah mempercepat proses kelulusan serta mengurangkan kerenah birokrasi melibatkan penganjuran konsert, festival dan acara hiburan berskala besar bagi memastikan Kuala Lumpur kekal kompetitif sebagai destinasi pilihan pemain industri hiburan global.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page