Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) meluluskan peruntukan RM113 juta untuk tujuan baik pulih cerun dan jalan raya di Semenanjung yang rosak akibat Monsun Timur Laut (MTL).
Menteri KKR, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika ditemui pemberita dalam lawatan kerjanya ke Kota Tinggi Johor pada Sabtu berkata, bagi tujuan itu pihaknya menerima permohonan daripada empat negeri iaitu Kelantan dengan kos RM34 juta, diikuti Johor (RM30.17 juta), Pahang (RM28.3 juta) dan Terengganu (RM11.3 juta), manakala bakinya untuk beberapa negeri lain.
Permohonan merangkumi baik pulih 48 cerun runtuh bernilai RM55.4 juta dan 81 jalan raya rosak bernilai RM 57.6 juta.
"Di Johor kita selenggara jalan sebanyak RM7.6 juta membabitkan 51 lokasi, manakala cerun dua lokasi membabitkan nilai RM1.6 juta. Kita telah luluskan, yang saya sebut tadi sudah diluluskan.
"Di peringkat awal, kita tidak boleh nak buat kerja fizikal sekarang kerana masih hujan, kita difahamkan MTL ini akan berlarutan sehingga Mac depan.
"Jika kerja baik pulih dilakukan sekarang, ia tidak akan memberi kesan terbaik dan masih terjejas oleh air hujan nanti. Apabila tiba masanya dengan cuaca lebih baik, kita akan lakukan kerja supaya kita dapat pastikan kerja itu cukup sempurna dan terbaik," katanya dipetik.
Beliau sebelumnya melakukan tinjauan bagi melihat sendiri runtuhan cerun FT003 Jalan Johor Bahru - Endau (PULADA) Seksyen 29.
Nanta Linggi sementara itu memaklumkan KKR bersetuju menaik aras empat lokasi di Jalan Kota Tinggi-Mersing dengan kos berjumlah RM120 juta bagi menangani masalah di kawasan itu secara kekal.
"Naik aras jalan ini menelan belanja besar. KKR telah dibuat kajian dan anggarannya serta teknikal kerja dengan lengkap.
"Dua lokasi jalan di Johor akan kita masukkan dalam permohonan pada Rancangan Malaysia Ke 12, membabitkan jalan Kota Tinggi-Mersing dengan kos RM6 juta dan ganti jambatan Sungai Semaloh di Kluang dengan kos RM30 juta," tambahnya.
Commentaires