Jawatankuasa Pemandu Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli dan Jawatankuasa Teknikal Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli bakal ditubuhkan dalam masa terdekat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penubuhan jawatankuasa itu bagi memastikan kesihatan komuniti itu setara dengan populasi umum Malaysia selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) serta prinsip tiada siapa yang ketinggalan (no one is left behind) dalam aspek kesihatan.
"Jawatankuasa kerja ini akan merangka strategi dan intervensi bagi mengurangkan jurang penentu sosial kesihatan (SDH) Orang Asli melalui peningkatan status sosial, ekonomi dan pendidikan supaya tahap kesihatan mereka setara dengan masyarakat arus perdana," katanya dipetik.
Dr Dzulkefly berkata begitu pada Majlis Taklimat dan Pelancaran Dapatan Tinjauan Kesihatan Orang Asli (OAHS) 2022 oleh KKM di bangunan Parlimen pada Isnin.
Sementara itu tambahnya, kedua-dua jawatankuasa itu akan dianggotai ketua setiausaha dan ketua pengarah dari 18 kementerian dan agensi berkaitan manakala Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Noor mewakili masyarakat Orang Asli.
"KKM juga akan membangunkan pelan strategik dikenali sebagai Agenda Orang Asli Sihat Sejahtera bagi menangani isu kesihatan golongan berkenaan berdasarkan dapatan OAHS 2022," katanya.
Data OAHS dari Julai hingga September 2022 melibatkan 15,950 responden merangkumi kaum Senoi, Melayu Proto dan Negrito, mendapati majoriti Orang Asli tidak mengetahui mereka menghidap penyakit tidak berjangkit
Sebanyak 55.8 peratus kanak-kanak suku Negrito pula mengalami masalah bantut, diikut oleh suku Senoi (48.2) dan Melayu Proto (48.0).
Comentarios