
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneruskan kesiapsiagaan dalam mendepani cabaran endemik Covid 19 varian baharu.
Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata demikian dalam ucapan amanat tahun baharu Kementerian Kesihatan pagi tadi.
"Di saat negara kini berada dalam keadaan transisi dari era pandemik Covid-19, kita dilaporkan dengan kenaikan kes Covid-19 di beberapa negara luar. Kerajaan memandang serius terhadap perkembangan terkini mengenai situasi penularan pandemik Covid-19 di luar negara ini.
"Dalam berdepan dengan kemunculan subvarian Omicron, KKM terus memperkukuhkan kesiapsiagaan. Kita mempunyai pengalaman yang sangat berharga ketika negara berdepan dengan gelombang varian Delta dahulu," katanya dalam ucapan yang disaksikan oleh warga KKM melalui aplikasi zoom itu.
Beliau juga menyatakan langkah yang diambik KKM dalam memantau jangkitan Covid terbaharu. Iaitu dengan menilai secara dekat perkembangan mutakhir serta bekerjasama rapat dengan negara serantau, khususnya negara jiran seperti Thailand dan Singapura serta badan kesihatan antarabangsa (WHO) dalam memperkukuhkan strategi kawalan dan pencegahan penularan Covid-19 berdasarkan fakta sains dan analisa data.
KKM juga katanya, akan mengukuhkan aktiviti pengawasan Covid-19 dalam kalangan pengunjung atau pengembara di pintu-pintu masuk utama negara. Saringan ke atas pengunjung yang bergejala dan disyaki dijangkiti Covid-19akan dilakukan dan tindakan segera diambil untuk tujuan isolasi atau rawatan lanjut.
Juga meneruskan aktiviti pemantauan bagi mengenal pasti varian atau subvarian baru jika ada, dengan mengambil sampel rawak kumbahan daripada pesawat-pesawat yang mengangkut pengembara dari luar negara, agar langkah-langkah segera dan tepat dapat dilaksanakan.
"Matlamat pendekatan ini adalah untuk mengawal risiko jangkitan Covid-19 dan melindungi sistem kesihatan awam negara ini di samping mempercepatkan proses pemulihan kehidupan sosial dan ekonomi negara.
"Kaedah pencegahan dengan memakai pelitup muka apabila berada di tempat-tempat awam juga digalakkan. Amalkan 3W dan elakkan 3S adalah amalan yang perlu dipertingkatkan kembali, agar kita terpelihara dan kesihatan terus berada di tahap yang optimum," katanya.
Selain itu, Dr Zaliha juga memberi jaminan akan menyelesaikan masalah perjawatan tetap di KKM yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu dan menjejaskan aspek kecekapan kementerian itu.
"Ingin saya nyatakan pada tahun 2023 ini, KKM berjaya menambah lagi jumlah penempatan. Sebanyak 4,914 kekosongan jawatan tetap akan ditawarkan, terdiri daripada 4,263 jawatan bagi Pegawai Perubatan, 335 bagi jawatan Pegawai Pergigian dan 316 pula bagi jawatan Pegawai Farmasi.
"Iklan akan dibuka mulai 6 Januari 2023 hingga 21 Januari 2023. Sehubungan itu, saya berharap calon yang layak dapat mengisi permohonan dan mengemukakan segera maklumat yang lengkap dan betul," katanya lagi.