Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir susulan Monsun Timur Laut.
Menterinya, Dr Zalina Mustafa berkata sebanyak 453 klinik alternatif telah disediakan pihak kementerian sebagai usaha berdepan kemungkinan berlaku kejadian banjir semasa fenomena monsun
Klinik alternatif itu jelasnya diagihkan kepada 552 premis kesihatan KKM yang berisiko dilanda banjir di seluruh negara untuk sedia beroperasi dan memberi perkhidmatan di premis kesihatan terjejas banjir.
Selain itu, KKM juga telah melakukan persiapan rapi, terutamanya berkaitan kekuatan dan kesediaan petugas kesihatan, kelengkapan peralatan dan perubatan, serta aset-aset kenderaan.
"Kita sentiasa bersedia, KKM memantau rapi situasi MTL selain kerjasama rapat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) selaku agensi pusat.
"Di peringkat negeri pula kita sentiasa berhubung dan bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah," katanya dipetik.
MTL dijangka berlaku pada November ini hingga Mac tahun depan yang menyebabkan negara lebih terdedah kepada risiko banjir dan tanah runtuh.
Dalam perkembangan berasingan, Dr Zaliha berkata pihak kementeriannya turut memantau rapi 28 projek sakit melibatkan pembinaan pelbagai projek kementerian itu di seluruh negara.
Pemantauan yang turut melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu, bertujuan memastikan setiap projek disiapkan mengikut jadual asal, selain mengambil tindakan menghentikan tender kepada kontraktor yang bermasalah dan melantik kontraktor penyelamat bagi memastikan projek terbabit dapat disiapkan secepat mungkin.
Comments