Masalah menyerap kakitangan kontrak di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke jawatan tetap sedang diselesaikan secara beransur ansur.
Sebagai permulaan, KKM hari ini membuka pengambilan bagi Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi kontrak untuk memohon ke jawatan tetap.
Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi bagi tahun 2016 dan 2017 boleh memohon melalui Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA9) mulai 30 Januari dan 12 Februari 2023.
"Proses ini susulan urusan pengambilan jawatan tetap Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan tahun 2018 hingga 2020 yang telah dibuka menerusi sistem SPA9 dari 6 Januari 2023 hingga 21 Januari 2023.
"Seramai 242 Pegawai Pergigian dan 321 Pegawai Farmasi lantikan kontrak tahun 2016 dan 2017 layak memohon jawatan tetap yang ditawarkan.
"Pegawai lantikan kontrak yang berkenaan disarankan melayari portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau mengemaskini permohonan dalam sistem SPA9," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berharap pegawai lantikan kontrak akan melakukan persediaan sewajarnya bagi urusan pengambilan tersebut.
Comments